MP: Jika air Evian ditaja, jelaskan siapa penajanya
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng meminta penjelasan kerajaan sekiranya air berjenama yang dihidangkan ketika mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara baru-baru ini ditaja pihak-pihak tertentu.
Ini susulan klip video yang menunjukkan air botol 500ml berjenama Evian keluaran syarikat Perancis itu dihidangkan ketika Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat itu pada 31 Jan lalu.
Air berkenaan dijual pada harga RM4.50 sebotol berdasarkan laman web Jaya Grocer.
"Video berkenaan telah menerima kritik yang pedas dan keras daripada ramai orang.
"Sehubungan itu, saya ingin meminta agar Pejabat Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara memberitahu kepada rakyat bahawa jabatan-jabatan kerajaan manakah yang menyediakan air botol Evian semasa mesyuarat dijalankan?
"Sekiranya air Evian tersebut ditaja oleh pihak lain, kerajaan perlu menjelaskan nama penaja itu dan agendanya," katanya dalam kenyataan.
Lim juga mencadangkan agar Ismail memberi arahan kepada semua agensi kerajaan dan syarikat GLC untuk membekalkan barangan buatan tempatan kepada para ahli mesyuarat yang hadir ke sesuatu majlis.
‘Elak bazir, gemuk’
Selain itu, pemimpin DAP itu juga memberikan tips kepada kerajaan untuk mengelakkan pembaziran dan mengurangkan risiko obesiti ketika mesyuarat rasmi.
Menurut Lim dia mencadangkan semua agensi kerajaan tidak menyediakan makanan, kopi dan teh selain air kosong ketika mesyuarat rasmi kecuali sekiranya ia diadakan pada waktu makan sebelah pagi, tengah hari atau malam.
"Langkah ini pasti akan menjimatkan wang rakyat serta mengurangkan pembaziran makanan dan minuman.
"Ia juga akan membantu usaha kerajaan merendahkan kadar obesiti rakyat Malaysia yang agak menggerunkan kerana Malaysia telah dinamakan negara 'juara' gemuk di antara negara ASEAN," katanya.

