Timbalan ketua menteri Sabah, Jeffrey Kitingan mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Al Jazeera yang didakwa memfitnahnya berhubung kontroversi perjanjian perdagangan karbon membabitkan kerajaan negeri Sabah.

Kitingan berkata, dia akan turut mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap ahli politik pembangkang, Adrian Lasimbang, yang dipetik dalam artikel berkenaan.

Dalam kenyataannya, Jeffrey mempertikaikan kredibiliti “pemberi maklumat” yang tidak dinamakan dalam artikel media antarabangsa itu.

“Saya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Al Jazeera dan Lasimbang dan pihak lain yang giat menyebarkan maklumat palsu kepada orang awam, secara khususnya yang memfitnah nama saya.

“Jelas sekali, Al Jazeera dan Lasimbang membina pandangan mereka atas topik itu berdasarkan penipuan dan kepalsuan yang disogokkan oleh seorang individu yang mempunyai motif untuk meraih laba politik dan menghasut komuniti Orang Asal dengan memfinah saya,” katanya.

Artikel Al Jazeera berjudul “Very hush-hush: Borneo’s $80bn carbon deal stokes controversy” itu mendedahkan individu-individu yang dikatakan terlibat dalam Perjanjian Pemulihan Alam Sekitar (NCA) Sabah.

Ia turut menyatakan bahawa syarikat Singapura terlibat - Hoch Standard Private Limited - merupakan shell company (syarikat tanpa aktiviti atau aset tertentu) yang dimiliki sebuah syarikat di British Virgin Islands dengan modal berbayar hanya AS$1,000.

Kitingan sebelum ini mendakwa syarikat itu disokong oleh Temasek Holdings Limited milik kerajaan Singapura dan bernilai AS$10 juta.

Dalam artikel itu, Kitingan dilapor mengaku kesilapannya bahawa Hoch Standard tidak didanai Temasek Holdings, tetapi menegaskan bahawa ia disokong “agensi pembiayaan besar” yang tidak dinamakan.

Tak akan batal NCA

NCA yang ditandatangani pada 30 Okt lalu itu membabitkan persetujuan memberikan 30 peratus daripada hasil jualan kredit karbon Sabah kepada Hoch Standard, manakala kerajaan Sabah mendapat 70 peratus.

Perjanjian selama 100 tahun itu meliputi dua juta hektar kawasan hutan, bersamaan saiz 2.8 juta padang bola.

Kerajaan tidak mengumumkan pemeteraian perjanjian itu, sebaliknya ia hanya diketahui umum pada awal Nov 2021 apabila laman web alam sekitar, Mongabay mengeluarkan artikel mengenainya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kitingan mendakwa bekas ketua menteri Shafie Apdal turut cuba memeterai “perjanjian karbon yang sama”.

Namun katanya perkara tidak berjaya direalisasikan apabila Warisan tumbang pada pilihan raya negeri yang diadakan pada September 2020.

Pada sidang DUN Sabah pada 8 Dis 2021, Shafie memaklumkan bahawa dia telah menolak perjanjian perdagangan karbon itu dan tidak membawanya ke kabinet Sabah.

Mengulas lanjut, Kitingan berkata, kerajaan Warisan berunding untuk mendapatkan perjanjian 51:49, sedangkan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya mendapatkan perjanjian 70:30 dengan Hoch Standard.

“Berikutan perjanjian itu yang jauh lebih baik, adalah tidak masuk akal untuk kerajaan GRS membatalkan atau menghentikan NCA itu seperti dicadangkan Shafie.

“Membatalkan perjanjian itu akan membazirkan kerja keras berbulan-bulan dan menangguhkan rancangan kita untuk Sabah,” kata Kitingan.

[Baca laporan penuh]