Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M dibenarkan keluar dari IJN
Diterbitkan:  Feb 5, 2022 2:21 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 8.40 pagi tadi.

IJN dalam kenyataannya berkata, Dr Mahathir kini akan menjalani pemulihan di rumah selepas dimasukkan ke institut perubatan itu baru-baru ini.

"Tun Dr Mahathir akan menjalani pemeriksaan susulan bagi meneruskan rawatan perubatan apabila diperlukan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Minggu lalu, anak perempuan Mahathir, Marina memaklumkan keadaan bapanya semakin pulih dan telah dipindahkan ke bilik wad biasa IJN.

Ia merupakan kali ketiga anggota parlimen Langkawi itu dimasukkan ke pusat perubatan jantung berkenaan dalam tempoh sebulan.

Pengerusi Pejuang itu – yang akan mencecah usia 97 tahun pada Julai ini – dimasukkan ke IJN untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemerhatian susulan pada 16 Dis lalu sebelum dibenarkan keluar pada 23 Dis.

Dia kemudiannya dimasukkan semula ke IJN untuk menjalani prosedur elektif pada 7 Jan dan dibenarkan pulang pada 13 Jan.

Pada 20 Jan Mahathir sekali lagi dimasukkan ke IJN untuk kali ketiga dan dilapor memberikan respon yang baik terhadap rawatan di unit rawatan koronari (CCU).

Lihat Komen
ADS