Sepucuk surat yang mendakwa MCA akan bertanding di semua 17 daripada 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor adalah palsu, kata presiden parti itu, Wee Ka Siong.

"Tular mengenai surat palsu ini yang menggunakan letterhead MCA dan nama saya.

"Kepada mereka yang berniat jahat melakukan fitnah ini untuk memecah-belahkan Barisan Nasional, hentikanlah!

"Kami dalam Barisan Nasional sentiasa bermusyawarah dan segala keputusan dicapai secara konsensus parti-parti komponen,” kata Wee dalam catatan Facebook hari ini.

Wee dalam hantarannya turut memuatnaik surat berkenaan dengan tanda 'palsu' di Facebooknya.

Surat bertarikh 5 Feb itu mendakwa MCA akan meletakkan calon di semua kerusi di DUN Johor yang pernah ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Ia juga menyatakan terdapat pertikaian antara Umno dan MCA di kerusi DUN Pemanis, Senai dan Tangkak.

Dengan menggunakan nama Wee, surat itu juga menyatakan MCA tetap dengan pendirian untuk meletakkan calon di tiga kerusi berkenaan memandangkan ia adalah "kerusi tradisi" MCA.

Wee yang juga Pengerusi MCA Johor sebelum ini berkata, isu pembahagian kerusi dan calon parti itu akan dibincangkan selepas cuti Tahun Baru Cina.

DUN Johor dibubarkan pada 22 Jan lalu dalam usaha BN membentuk kerajaan negeri secara bersendirian tanpa Perikatan Nasional (PN) dan melemahkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) selaku gabungan pembangkang di negeri itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadualkan bermesyuarat pada 9 Feb bagi menentukan tarikh pilihan raya negeri berkenaan.