Budaya 'anak emas' didakwa wujud di Kementerian Penerangan
Surat layang yang mendakwa wujudnya 'budaya anak emas' sedang diedarkan di kalangan kakitangan Kementerian Penerangan.
Surat layang yang mendakwa wujudnya 'budaya anak emas' sedang diedarkan di kalangan kakitangan Kementerian Penerangan.
Dan Menteri berkenaan, Datuk Seri Zainuddin Maidin menyuarakan rasa tidak senangnya terhadap pengedaran surat layang itu ketika berucap dalam perhimpunan bulanan kakitangan kementeriannya pagi ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui kewujudan budaya 'anak emas' itu, tetapi menasihatkan penulis surat layang itu supaya berhenti berbuat demikian, sebaliknya berusaha mengubah diri sendiri untuk menjadi lebih baik.
"Memang berlaku (fenomena) anak emas ini, saya mengaku. Tetapi kenapa ada 'favourite'? Sebabnya bila ketua bagi kerja kepada orang ini, dia buat, dia tidak merungut.
"Tetapi ada orang bila dia diberi kerja dia merungut kepada kawan-kawan kerana diberi kerja lebih dan rungutan itu kemudian sampai kepada ketua, yang akhirnya menyebabkan dia tidak diberi kerja lagi," katanya dalam laporan Bernama.
'Suka berungut'
Zainuddin berkata, akibat daripada itu pula, ketua hanya akan memberi kerja kepada orang yang melaksanakannya tanpa merungut sekaligus wujudlah 'anak emas'.
"Bila ini berlaku, dia tengok orang lain lebih, mulalah dia tulis surat terbang," katanya.
Beliau berkata, kakitangan kementerian itu sepatutnya mengikis sikap suka merungut dan tidak mahu membuat kerja lebih sekiranya ingin melihat kementerian mencapai misinya.
Katanya beliau tidak mampu mengubah imej kementerian itu secara bersendirian tanpa sokongan kakitangan.
Menurutnya, usaha kementerian untuk mengubah imej RTM sebagai sebuah stesen untuk semua kaum semakin menunjukkan kejayaan, umpamanya bagi Anugerah Filem Pendek anjuran Filem Negara Malaysia dan kementerian, turut mendapat sambutan daripada penerbit filem bangsa Cina.
"Saya dimaklumkan 38 peratus daripada penyertaan dalam Anugerah Filem Pendek ini adalah orang Cina. Ini agak mengejutkan dan kita terima situasi ini dengan baik," katanya yang percaya pencapaian itu adalah hasil usaha gigih Timbalan Menteri Penerangan Datuk Seri Chia Kwang Chye dalam mempromosikan anugerah itu kepada kaum Cina.

