mk-logo
Berita
Perbincangan kerjasama PH, Muda belum muktamad - Lim
Diterbitkan:  Feb 7, 2022 4:33 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

PRN JOHOR | Perbincangan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk mengenai pembahagian kerusi, masih belum dimuktamadkan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata PH turut akan mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain dalam masa terdekat berhubung kerjasama itu sejurus selesai rundingan dengan Muda.

"Kita mahu berbincang dengan semua parti untuk elak pertembungan tetapi buat masa ini perbincangan dengan Muda lebih realistik.

"Jadi kami harap kalau kita berjaya, kita boleh buat barisan atau pentas kerana kita bukan nak menang kerusi sahaja tapi kita nak menang kerajaan. Itu yang rakyat hendak…kita boleh buat perubahan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian ibu pejabat baru DAP Johor di Kulai hari ini.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian mengulas mengenai hasil rundingan antara PH dan Muda khususnya membabitkan agihan kerusi.

Sabtu lepas, Pengerusi PH yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata rundingan kerjasama dengan Muda kini di peringkat kepimpinan negeri dan Muda belum memberitahu jumlah kerusi yang dimahukan.

Mengenai Parti Warisan, Lim berkata semua parti berhak untuk bertanding dalam PRN Johor dan sekiranya ada kerjasama antara PH dan parti itu, ia akan dilakukan secara literal terlebih dahulu.

Terdahulu, Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong dilaporkan berkata Warisan bersedia menjadi pengubah keadaan sekiranya parti itu membuat keputusan bertanding dalam PRN Johor.

Mengulas mengenai dakwaan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang dilaporkan sebuah portal antara dasar utama PH ketika mentadbir negara sebelum ini adalah memotong peruntukan tanpa mengambil kira keperluan rakyat, Lim berkata laporan itu tidak benar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS