Rundingan kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) dengan parti pembangkang lain bagi pilihan raya negeri (PRN) Johor dijangka akan selesai minggu ini, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

"Insya-Allah dalam minggu ini selesai," katanya kepada Malaysiakini.

Salahuddin berkata, PH perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku pada PRN Melaka dan juga Sarawak.

Oleh itu katanya, PH tidak boleh membiarkan Umno dan BN mengulangi kejayaan mereka sebelum ini di PRN Johor.

"Justeru kita tidak boleh mengizinkan Umno dan BN mengulangi kejayaan itu di bumi Johor.

“Mereka yang terlibat dalam salah guna kuasa, Umno yang sarat dengan pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan isu kleptokrasi dan kluster mahkamah, maka sosok ini harus dinyahkan daripada terus mendapat kemenangan besar di negeri Johor.

"Perkara yang sangat penting untuk kita sedari ialah jangan sekali-kali kita diizinkan untuk menjadi ejen oleh tangan-tangan yang tidak kelihatan, yang mahu melihat kita berpecah, yang mahu kita bertempur sesama sendiri, dan sekiranya ini berlaku di kerusi-kerusi yang kita tandingi, maka kita akan kalah semuanya.

"Maka, mereka akan ketawa besar dan Umno sekali lagi akan menjarah dan mentadbir negeri Johor," kata Salahuddin lagi.

Mengulas lanjut, Salahuddin menegaskan apa yang penting adalah memastikan semua pemimpin PH mencapai sepakat di meja rundingan dengan parti pembangkang dari Warisan, Muda dan Pejuang.

"Maka kita akan melihat kepada satu spektrum yang lebih besar untuk kita mengalahkan Umno dan BN. Kita boleh menang bersama," katanya.

Sumber PH sebelum ini memaklumkan bahawa PKR dan Amanah masing-masing akan bertanding 20 kerusi dalam PRN Johor manakala DAP akan bertanding 16 kerusi.

Pejuang pula pernah menyatakan hasrat untuk bertanding di 42 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.