Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3 hari naik motor dari P Pinang untuk serah memo pada KJ

Sekumpulan pekerja pembersihan hospital yang berkonvoi sejak tiga hari lalu tiba di Putrajaya hari ini bagi menyerahkan tuntutan berkaitan hal kebajikan kakitangan hospital kepada menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Kumpulan pekerja pembersihan berkenaan adalah daripada Kesatuan Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) dan menaiki buah motosikal untuk menemui Khairy.

Mereka menuntut agar sistem pekerja kontrak dimansuhkan, menyediakan elaun Covid-19 kepada semua kakitangan hospital kerajaan dan menghentikan intimidasi terhadap anggota dalam kesatuan pekerja.

Pekerja berkenaan yang kebanyakannya wanita memulakan konvoi tersebut sejak 5 Februari lalu di Pulau Pinang dengan mengunjungi sekitar 20 hospital di sepanjang perjalanan ke Putrajaya.

Antara hentian tersebut ialah Hospital Bukit Mertajam, Hospital Seberang Jaya, Hospital Tapah dan hentian terakhir adalah di Hospital Putrajaya sebelum menuju ke Kementerian Kesihatan.

“Kebanyakan hospital tidak mengalu-alukan kami. Sebahagiannya ada pengawal yang menghalang kami daripada memasuki hospital. Mereka juga menghalang kami daripada menggunakan tandas,” kata presiden kesatuan Roziah Mohd Hashim.

Mereka mendakwa pekerja di hospital tersebut turut diberi amaran oleh penyelia mereka, namun beberapa pekerja memberanikan diri untuk memberi sokongan.

Sekitar 30 ahli kesatuan hadir di hadapan bangunan Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada Khairy.

Sebagai respons balas, Khairy berkata kerajaan akan melihat secara menyeluruh permintaan kakitangan tersebut, yang telah banyak membantu dalam memerangi pandemik.

“Saya telah memaklumkan kepada Roziah bahawa walaupun mereka pekerja di bawah syarikat konsesi, syarikat tersebut mendapat konsesi daripada Kementerian Kesihatan.

“Tuntutan yang dibangkitkan sebelum ini akan diteliti secara menyeluruh. Saya akan mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat konsesi untuk mendapatkan pemahaman

yang lebih mendalam mengenai isu yang dibangkitkan. Saya memberikan komitmen saya kepada Roziah dan syarikat sebagai barisan hadapan.

“Kakitangan sokongan hospital telah banyak membantu kami semasa mengendalikan pandemik Covid-19. Kita tidak boleh memandang enteng nasib mereka,” katanya ketika sidang media di luar bangunan Kementerian Kesihatan hari ini.

Kesatuan itu berkata mereka sebelum ini menghantar lima memorandum kepada Kementerian Kesihatan sejak 2015 dan bertemu dengan bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad tetapi tiada tindakan diambil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS