Hilman mohon batal pernyataan pembelaan peguam kes rogol
Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata dia tidak pernah disiasat atau didakwa di mahkamah atas dakwaan rogol melibatkan dua ahli Bersatu.
Ahli Bersatu itu menyatakan demikian dalam afidavit bagi menyokong permohonannya untuk membatalkan pernyataan pembelaan Asheeq Ali Sethi Alivi berhubung saman fitnahnya terhadap peguam berkenaan.
Hilman yang merupakan bekas pemimpin PKR memfailkan saman terhadap Asheeq, yang kebetulan merupakan ahli PKR, atas tuduhan memfitnahnya berikutan satu sidang media pada 11 Ogos tahun lepas.
Pada tarikh itu, media melaporkan Asheeq mendakwa pihak polis masih belum bertindak terhadap laporan yang dibuat anak guamnya yang mendakwa dirogol dua lelaki yang dikaitkan dengan Hilman.
Hilman kini merupakan ketua pemuda Bersatu Gombak.
Sebelum ini dilaporkan bahawa wanita itu menyerahkan bukti yang didakwa kepada pihak polis berhubung kejadian rogol berkenaan.
Dilaporkan dalam pernyataan pembelaannya, Asheeq bersedia membuktikan dakwaan itu di mahkamah apabila saman itu didengar.
Menurut salinan afidavit Hilman yang dilihat Malaysiakini, Hilman memohon untuk membatalkan pernyataan pembelaan peguam tersebut yang menyentuh mengenai dakwaan rogol melibatkan wanita berkenaan.
Ahli Bersatu itu berkata dakwaan itu hanyalah merupakan khabar angin dan cakap dengar (hear say) yang disampaikan wanita itu kepada Asheeq.
Hilman berkata dakwaan itu merujuk kepadanya walaupun dia "tidak pernah dituduh di mana-mana mahkamah di seluruh Malaysia bagi dakwaan yang dinyatakan oleh defendan”.
"Saya juga menegaskan bahawa saya tidak pernah disiasat oleh oleh mana-mana pihak berkuasa atas dakwaan yang dinyatakan defendan," katanya dalam afidavit itu.
Hilman berkata pernyataan pembelaan Asheeq adalah suatu penyalahgunaan proses mahkamah, antaranya berunsur justifikasi yang tidak relevan sama sekali atau mempunyai kaitan dengan tuntutannya terhadap defendan.
Plaintif juga mendakwa terdapat unsur berat sebelah dalam dakwaan itu yang mana wujud kemungkinan "scheme of arrangement" antara defendan dan anak guamnya dalam membuktikan dakwaan dalam pernyataan pembelaan berkenaan.
Hilman juga berhujah bahawa pernyataan pembelaaan tersebut adalah mengaibkan, remeh atau menyusahkan, dengan mengatakan dakwaan itu bukan sahaja tidak benar tetapi dilakukan dengan niat jahat.
Peguam Hilman dari firma guaman Hafiz Ruzaini & Co memfailkan saman sivil itu pada 12 Dis tahun lepas.
Menerusi pernyataan tuntutan saman itu, Hilman mendakwa Asheeq membuat kenyataan berbaur fitnah semasa sidang media yang diadakan di hadapan ibu pejabat polis Bukit Aman, pada 11 Ogos tahun lepas.
Plaintif memenangi kerusi DUN Gombak Setia di Selangor atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018.
Bagaimanapun, Hilman menyertai Perikatan Nasional setelah meninggalkan PKR untuk bersama Bersatu. Dia sebelum ini memegang jawatan sebagai timbalan ketua Pemuda PKR (AMK).
Plaintif juga merupakan Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) serta setiausaha politik kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali.
Azmin ialah ahli parlimen Gombak dari Bersatu.

