Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tan Sri' bayar lebih RM100,000 gaji pembantu rumah tertunggak

Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang berhasrat menyaman majikan bergelar ‘Tan Sri’ kerana tidak membayar gajinya selama 12 tahun telah menerima bayaran lebih RM100,000 selepas proses mediasi yang panjang antara majikannya dan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Pengalaman perit pembantu rumah berusia 43 tahun dari Malang, Jawa Timur itu dibongkar Malaysiakini pada Disember tahun lalu selepas hampir setahun mendapatkan perlindungan di Kedutaan Indonesia.

Malaysiakini juga telah melihat dokumen mahkamah buruh Subang Jaya di mana tuntutan RM500 yang dikemukakan terhadapnya oleh anak majikannya kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia kerana memberi notis penamatan 14 hari telah ditolak.

Ketika ditemui semula Malaysiakini, pembantu rumah yang kelihatan ceria dan enggan namanya itu didedahkan berkata "Saya sangat gembira kerana akhirnya dapat pulang ke rumah dan saya berterima kasih kepada kedutaan kerana membantu saya menuntut gaji tertunggak saya daripada majikan saya."

Menurutnya, dia juga tidak sabar bertemu kedua orang tuanya dan berhasrat membuka warung kecil di tepi jalan tidak jauh dari rumahnya.

“Saya juga bercadang menggaji beberapa pekerja untuk memulakan penanaman sayur-sayuran di tanah milik ibu bapa saya dan apabila saya mengambil pekerja, saya akan melayan mereka secara adil, dengan memberi cuti dan waktu bekerja yang baik,” katanya sambil menambah dia belum bercadang untuk berkahwin.

Sumber Kedutaan Indonesia menjelaskan jumlah keseluruhan yang diperolehi adalah gaji tetap bulanan selama 12 tahun, berdasarkan kadar gaji minimum bagi setiap tahun dan selepas menolak kos perbelanjaan tertentu yang ditanggung oleh majikan.

Majikan tidak didakwa

Pembantu rumah itu telah melarikan diri selepas dipaksa bekerja selama 18 jam sehari oleh majikannya yang dikatakan seorang Tan Sri berusia 70-an.

Dia menghadapi kata-kata cacian sepanjang 12 tahun, keletihan fizikal yang berterusan dan malah pernah ditampar oleh majikannya apabila tersalah meletakkan ubat.

Pembantu rumah itu menceritakan dia jarang mempunyai masa untuk berehat, dan bagi tujuh tahun pertama, dia menguruskan keluarga seramai enam individu dewasa dan dua bayi di sebuah rumah besar lima bilik di Kota Damansara.

Kes yang dihadapinya menunjukkan elemen buruh paksa seperti penahanan gaji, serangan, penahanan pasport, sekatan pergerakan dan waktu kerja yang ketat.

Walaupun kes itu telah diselesaikan dari aspek kewangan, tidak ada petunjuk majikan berkenaan akan menghadapi pertuduhan atas dakwaan kesalahan buruh paksa.

Sumber Kedutaan Indonesia menjelaskan mereka mengambil tindakan berdasarkan keutamaan terhadap mangsa dan “dalam kesnya, dia mahu pulang dengan gaji yang tidak dibayar.

“Dan ibu bapanya, bersyukur kerana mendengar dia masih hidup, mahu dia pulang segera.

"Tetapi jika kami memfailkan Laporan Antipemerdagangan Manusia kepada polis, tidak ada jaminan bahawa dia akan mendapat gajinya semula atau pulang ke rumah dalam masa terdekat," jelas sumber kedutaan itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS