mk-logo
Berita
Asri dakwa anak-anak Loh tidak mahu bersama ibu mereka

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata tiada sebarang masalah yang timbul sekiranya anak-anak kepada ibu tunggal Loh Siew Hong ingin kembali ke pangkuan ibu mereka, tetapi menurut Asri anak-anak tersebut enggan berbuat demikian.

“Kita tak ada masalah kalau anak-anak tu kata ‘kami nak balik ke mak kami.’ Kita bagi saja.

“Tapi masalahnya, anak-anak tu tak mahu. Kita bukan nak tahan kerana bukan bidang kuasa kita tapi dia (anak-anak) bagitahu kat kita ‘tolong pertahan kami, kami nak Islam, kami nak pi sekolah agama’,” katanya dalam satu video secara langsung yang dimuatnaik dalam Facebook pagi semalam.

Sebelum ini, Loh yang tidak dapat disatukan bersama tiga anaknya, selepas bekas suaminya Nagahswaran Muniandy berpisah menukar agama mereka secara sepihak tiga tahun lalu.

Tiga anaknya - kembar berusia 14 tahun dan lelaki berusia 10 tahun kini diletakkan di bawah jagaan JKM Perlis, sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, menceritakan pertemuannya bersama anak perempuan Loh, Asri berkata bahawa mereka bertegas untuk masuk Islam tanpa sebarang paksaan daripada sesiapa.

“Budak-budak ni telah diberikan pihak Muslim lain, mak dia tak muncul apa dan pihak Muslim di Pulau Pinang tu telah jaga budak-budah ini di pusat pengajian agama dan elok Islamnya.

“Saya jumpa dah…Depa cerita kepada saya depa nak Islam sebelum bapak depa nak Islam, 'kami dulu nak Islam',” katanya.

Loh dan suaminya, Nagahswaran berpisah pada Mac 2019. Nagahswaran dilaporkan melarikan tiga kanak-kanak itu ketika ketiadaan Loh dan menukar agama dan menempatkan mereka di sebuah NGO berkaitan Islam.

Dia kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah. Loh kemudian berjaya bercerai dengan suaminya dan diberikan hak penjagaan penuh pada Mac 2021.

‘Unsur perkauman’

Mengulas lanjut isu tersebut, Asri mempersoalkan Timbalan Ketua Menteri (II) P Ramasamy yang mengeluarkan kenyataan berunsurkan isu perkauman dan agama, dengan mendakwa kanak-kanak tersebut diculik dan dipaksa menukar agama.

“Kenapa depa nak mainkan isu perkauman?

“Dan Ramasamy.. (kalau) baca kenyataan-kenyataan dia, memang menyakitkan hati kita sebagai satu masyarakat yang harmoni.

“Apa pemikiran dia duduk dalam negara majoriti orang Islam, cara, bahasa, percakapan, sikap dia sentiasa menunjukkan permusuhan dia dengan masyarakat Islam,” kata Asri.

Tambah Asri, Ramasamy dan rakan-rakannya dialu-alukan menghubunginya untuk mendapat maklumat lanjut mengenai isu tersebut dan mencari penyelesaian yang terbaik sebelum membuat tuduhan yang melulu.

Asri turut memberikan respons balas terhadap pertikaian kelayakan umur permohonan pendaftaran penukaran agama, di mana menurutnya seseorang dalam usia 'mumaiyiz' sah sebagai Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah.

“Satu orang mengucap dua kalimah syahadah, di sisi kita dia (sah) Islam , kita daftar kerana bapa dia kata bapa dia yang bagi, dan bapa dia yang kata mak dia tak tau pergi mana masa tu.

“Isunya, di sisi kita, seseorang yang dah mumaiyiz, dia ucap dua kalimah syahadah, Islam di sisi kita. Soal pendaftaran, tak boleh daftar tu cerita kemudian.

“(Umur) 18 tahun kemudian bolehlah dia buat keputusan rasmi tapi tak ada sesiapa paksa,” katanya.

Mumaiyiz bermaksud seseorang yang sudah dapat membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk.

Untuk rekod, Seksyen 117 dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 (Pindaan 2008), berkenaan keupayaan untuk memeluk agama Islam menyatakan seseorang yang tidak beragama Islam boleh memeluk agama Islam jika dia sempurna akal dan sudah mencapai umur 18 tahun; atau jika dia belum mencapai umur 18 tahun, ibu dan bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya.

ADS