Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ini bukan perancangan sehari dua - Ebit Lew 
Diterbitkan:  Feb 18, 2022 1:40 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Dermawan, Ebit Lew menyifatkan 11 pertuduhan gangguan seksual yang dibuat terhadapnya sama sekali tidak berasas.

"Berdasarkan pertuduhan tadi, saya melihat pertuduhan ini satu tuduhan yang tak berasas, melampau dan memang bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti saya, supaya saya dihina, direndah-rendahkan, supaya saya menghentikan kerja-kerja kebajikan saya.

"Dan ini bukan perancangan yang dibuat dalam tempoh satu, dua hari," katanya selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Tenom, Sabah, hari ini.

Terdahulu, Ebit Liew hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Tenom, Sabah dan dikenakan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Ia berhubung menghantar gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi Whatsapp.

Menurut polis, kesemua pertuduhan didakwa berlaku di daerah Tenom antara Mac 2021 hingga Jun 2021 melibatkan seorang perempuan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Mengulas lanjut, Ebit berkata sejujurnya dia agak terkejut dengan pertuduhan yang dibuat keatasnya kerana ia hanya dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, kata Ebit apa yang berlaku itu tidak membuatkannya bersedih.

Kata Ebit, ini kerana dia tahu bahawa dirinya sama sekali tidak bersalah.

"Saya baru tahu pertuduhan tersebut dan ini baru satu pertuduhan dari seorang pertuduh dari 11 pertuduhan.

"Saya pun rasa terkejut jugalah sebab saya dalam program kerja amal di Sabah, sekarang ini.

"Tapi, saya tak rasa sedih sebab saya tahu saya tak bersalah dan yakin ini semua perancangan banyak pihak daripada dulu lagi terhadap kerja amal yang saya lakukan.

“Dan saya reda dengan segala ketentuan Allah SWT, ini juga ujian Allah buat saya dan saya tenang melaluinya," katanya sambil mengakui apa yang dilaluinya itu sangat berat namun selalu berpesan pada dirinya agar selalu berdoa dan menangis pada-nya ketika diri diuji.

ADS