Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemelut Loh: Agamawan disaran buat semakan kehakiman
Diterbitkan:  Feb 20, 2022 11:35 AM
Dikemaskini: 3:35 AM

Ada langkah lain boleh dilakukan pihak tertentu yang mahu menyelamatkan akidah tiga kanak-kanak di Perlis yang sedang cuba didapatkan ibu mereka sekarang.

Menurut Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed mereka perlu segera membuat permohonan semakan kehakiman di mahkamah.

Katanya langkah itu perlu diambil sekarang supaya kerajaan - dengan kuasa yang ada padanya - boleh mengubah keputusan Mahkamah Persekutuan yang mensyaratkan persetujuan ibu dan bapa diperlukan bagi menentukan status agama seseorang individu di bawah umur.

"Keputusan ini hendaklah dibatalkan dan tidak terpakai kepada orang Islam kerana bercanggah dengan Islam," katanya.

Tambah bekas kadi di Kelantan itu lagi, semua pihak wajar menghentikan tindakan memainkan sentimen bangsa dan agama setiap kali timbul isu seumpama itu.

"Sedangkan ada ramai lagi yang mengalaminya telah menderita kerana polemik ini. Kebajikan mereka terabai, bahkan lebih teruk mereka menjadi 'pelarian' dan 'orang buruan' untuk menyelamatkan akidah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Che Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas kontroversi semasa membabitkan seorang ibu tunggal. Loh Siew Hong, yang masih tidak disatukan dengan tiga anaknya.

Ia menjadi rumit apabila ketiga-tiga anak Loh itu - termasuk sepasang kembar - mengikut bapa mereka yang diislamkan secara sepihak tiga tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu Loh dinafikan haknya untuk bertemu mereka sehinggalah dia dapat mengesan keberadaan anak-anaknya itu baru-baru ini.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menegaskan isu berkenaan memerlukan jalan penyelesaian tuntas memandangkan ia berlarutan begitu lama.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata Abim berpendirian agar Loh diberikan kelonggaran untuk bertemu dengan anak-anak sekerap mungkin.

"Kasih sayang ibu terhadap anak adalah satu fitrah yang dianugerahkan Allah kepada manusia dan tidak ada sesiapa berhak untuk melanggarnya.

"Malah, jaminan ibu untuk menerima pengislaman anak-anak itu dengan sendiri menunjukkan keikhlasan kasih sayang seorang ibu asalkan dapat bertemu anak- anaknya.

"Jaminan ini seharusnya tidak menjadi asbab untuk dinafikan hak ibu bertemu anak-anak dengan alasan untuk memelihara agama anak-anak," tegasnya dalam kenyataan media, hari ini.

Lihat Komen
ADS