Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sedia bergabung dengan Parti Progresif Rakyat (PPP) jika parti itu benar-benar ikhlas dan melakukannya tanpa syarat.

Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe (foto bawah) bagaimanapun berkata, apa yang berlaku hari ini ialah pucuk pimpinan PPP tidak ikhlas dan seolah-olah mempunyai agenda sendiri.

"Saya amat ragu dengan kenyataan Presiden PPP, Datuk M. Kayveas yang membuat syarat bahawa penggabungan kedua-dua parti hanya berlaku tahun depan iaitu selepas Presiden Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik meletakkan jawatan.

"Kenyataan tersebut tidak boleh diterima oleh ahli-ahli Gerakan. Kalau awal-awal lagi sudah letak syarat...kalau nak itu, nak ini, bermakna ada udang di sebalik batu.

"Tetapi kalau ikhlas untuk kepentingan rakyat dan negara, kita (Gerakan) sedia pertimbangkan dan sedia terima ," katanya ketika diminta mengulas penolakan Gerakan untuk bergabung dengan PPP seperti yang diumumkan oleh Dr Lim.

Tan yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, pada pendapatnya setakat ini PPP belum menampakkan kesungguhan dan keikhlasan untuk bergabung dengan Gerakan.

Katanya, pihaknya khususnya Wanita Gerakan tidak menolak penggabungan tersebut tetapi PPP kena buat dengan ikhlas.

"Jadi pendirian Wanita Gerakan buat masa ini ialah menyokong Presiden yang menolak sebarang bentuk penggabungan dengan PPP," katanya lagi.

Beliau berkata, walaupun Gerakan dan PPP merupakan parti berbilang kaum tetapi hala tuju tidak sama dan ini yang membezakan kedua-dua parti tersebut.

Katanya, Gerakan melihat ke depan dengan agenda yang besar dan bukannya sebuah parti yang `kacau sana kacau sini.'

Tan berkata, walaupun ahli Gerakan dalam lingkungan 300, 000 orang sahaja tetapi mereka merupakan golongan yang bijak dan boleh memberi sumbangan kepada parti.

Menurutnya, hala tuju Gerakan ialah memperjuangkan Bangsa Malaysia di bawah satu payung tetapi tidak bermakna akan campur tangan atau mempersoalkan hak kaum lain.

Gerakan katanya lagi, mengutamakan ketelusan dan mempunyai hala tuju yang jelas iaitu mahu membawa kemakmuran, perpaduan kepada negara serta diterima rakyat.

Baru-baru ini, Kayveas yang juga Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri berkata, parti itu mempunyai keahlian seramai 600, 000 orang mahu bergabung dengan Gerakan apabila Dr Lim berundur dari jawatan Presiden Gerakan tahun depan.