Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seumur hidup saya tak pernah makan rasuah - suami Zeti

Suami kepada bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz hari ini melahirkan rasa terkejut dengan dakwaan berkaitan rasuah yang dibuat Tim Leissner terhadapnya.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini pagi ini, Tawfiq Ayman menolak dakwaan dalam keterangan bekas pengerusi bank Goldman Sachs itu di hadapan Mahkamah Daerah Timur New York itu. 

Leissner ialah saksi utama dalam perbicaraan mahkamah berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat yang sedang dijalankan terhadap seorang lagi bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng.

“Saya terkejut dengan kenyataan yang dibuat terhadap saya oleh Tim Leissner yang telah dilaporkan media.

“Saya tidak mengenali Tim Leissner atau Roger Ng dan saya tidak pernah bertemu (dengan mereka), mahupun pernah berkomunikasi dengan salah seorang daripada mereka.

“Saya ingin menyatakan bahawa sepanjang hidup saya, saya tidak pernah menerima sebarang rasuah daripada sesiapa.

“Memandangkan perbicaraan sedang berjalan di New York, saya telah dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan lanjut kerana ia mungkin boleh menyebabkan subjudis.

"Kami akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil terhadap kenyataan yang dibuat terhadap saya," kata Tawfiq.

Tim Leissner

Kenyataan itu dikeluarkan oleh peguamnya daripada Tetuan Jagjit Ariff & Co, yang juga disahkan oleh rakan kongsi firma guaman itu Wan Muhd Ariff Ameer.

Semalam, Leissner, dalam keterangannya menyebut “rasuah yang membabitkan bekas suami gabenor Bank Negara”.

Bagaimanapun, dia tidak boleh mengesahkan secara bebas sama ada suapan telah dibayar atau tidak.

Menurut transkrip mahkamah perbicaraan Roger Ng, Leissner menyebut perkara ini apabila ditanya oleh pendakwa raya mengenai urusannya dengan projek usaha sama PetroSaudi-1MDB.

Jelasnya, dia telah mendengar melalui Ng - orang bawahan Leissner pada masa itu - bahawa 1MDB telah melabur AS$1 bilion ke dalam usaha sama itu.

Pada November tahun lalu, SPRM berkata Singapura memulangkan semula dana ke Malaysia sejumlah AS$15.4 juta yang berkaitan 1MDB melibatkan syarikat milik bersama Tawfiq.

Menurut The Edge, pemindahan berjumlah AS$16.22 juta itu berlaku pada 2008 dan 2009 dan dimaklumkan kepada Bank Negara pada 2015 dan 2016 apabila Singapura mula menyiasat pemindahan berkaitan 1MDB.

SPRM tidak mengulas secara terbuka mengenai perkara itu tetapi beberapa laporan mencadangkan bahawa suruhanjaya itu sedang menyiasat pembabitan Tawfiq, bersama bekas menteri kewangan kedua Nor Mohamed Yakcop.

Lihat Komen
ADS