Kenaikan kadar tol mulai Januari depan hanya 0.09 peratus daripada kos pengeluaran, oleh itu tiada sebab mengapa harga barangan keperluan perlu dinaikkan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal.

Sehubungan itu beliau memberi jaminan harga barangan keperluan tidak dinaikkan kerana kenaikan kadar tol terlalu kecil untuk untuk memberi kesan besar kepada harga barangan.

Mohd Shafie juga menyatakan, bukan semua kilang beroperasi di kawasan Lembah Kelang kerana banyak juga pengeluar barangan keperluan beroperasi di Pulau Pinang, Melaka, Johor dan negeri-negeri lain.

"Kenaikan tol itu tidak sampai 00.9 peratus daripada kos pengeluaran dan kerana itu saya tidak menjangka akan berlaku kenaikan harga barangan tahun depan.

"Kita juga tidak akan melayan sebarang permintaan dari pengeluar dan peniaga yang mahu menaikkan harga barangan," katanya selepas majlis penyampaian anugerah kedai harga patut anjuran kementeriannya di ibu negara malam tadi.

Baru-baru ini Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu mengumumkan kadar tol lima lebuh raya di Lembah Kelang di naikkan mulai 1 Januari tahun depan.

Lima lebuh raya terbabit ialah Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Lebuh Raya Koridor Guthrie, Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak, Lebuh Raya Kuala Lumpur Ampang dan Lebuh Raya Cheras Kajang.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, pihaknya akan membuat pemantauan bagi memastikan pekedai tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ekoran kenaikan kadar tarif tol.

"Pekedai yang berdegil akan dikenakan tindakan tegas dan pegawai penguatkuasa kementerian akan membuat pemeriksaan secara berterusan ke atas premis perniagaan di seluruh negara," katanya.

Bekalan gula

Beliau berkata, laporan indek harga 250 barangan keperluan pengguna akan dilaporkan kepada Jemaah Menteri setiap bulan.

Menyentuh isu kekurangan gula pula, Mohd Shafie berkata, krisis bekalan bahan berkenaan sudah berakhir dan kerajaan memberi jaminan bekalannya mencukupi untuk perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina, Februari tahun depan.

"Bekalan gula yang ada di pasaran melebihi permintaan dan pengeluar mengadu mereka menghadapi masalah untuk memasarkan produk mereka.

"Sejak beberapa bulan lalu, kementerian tidak menerima sebarang aduan dan rungutan dari pengguna yang mereka menghadapi masalah mendapatkan bekalan gula," katanya lagi.

Awal tahun ini orang ramai di seluruh negara bersungut kerana sukar mendapatkan gula mentah dan di sesetengah tempat harga yang dijual lebih tinggi daripada yang ditetapkan kerajaan.

Berikutan itu kerajaan mengarahkan pegilang meningkatkan pengeluaran di samping membuat serbuan ke atas premis dan peniaga yang cuba menyorok dan menaikkan harga gula.