Bilik berita Jabatan Penerangan Malaysia di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia ditutup sementara atas sebab keselamatan susulan kesan gegaran gempa bumi yang melanda negara jiran, Indonesia pagi tadi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, jurucakap jabatan penerangan memaklumkan penutupan itu dibuat pada 25 Feb sehingga 28 Feb.

Katanya, penutupan itu dibuat atas nasihat pihak berkuasa demi keselamatan orang ramai.

"Terima kasih atas perhatian berhubung isu ini. Penutupan bilik berita, aras 10 ini, adalah kerana melibatkan faktor keselamatan bangunan, kesan gegaran pagi tadi.

"Ia merupakan saranan pihak bomba sehingga tindakan pemantauan selesai," kata jurucakap jabatan penerangan kepada Malaysiakini, hari ini.

Pagi tadi, gegaran dirasai di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri di pantai barat Semenanjung setelah gempa bumi berlaku di Sumatera Barat, Indonesia.

Jabatan Meteorologi Indonesia melaporkan gempa sekuat 6.2 magnitud itu dikesan dekat Bukit Tinggi pada jam 8.39 pagi waktu tempatan (9.39 pagi waktu Malaysia).

Jabatan itu bagaimanapun berkata tiada risiko berlaku tsunami.