Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pemulihan ekonomi negara perlu disegerakan agar Malaysia tidak ketinggalan.

Bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini, Seri Paduka turut menggesa supaya segala urusan rakyat dibantu dan dipermudahkan untuk membina semula kehidupan dengan rasa selamat, aman dan makmur demi negara.

“Melangkah ke hadapan, Beta menyeru kepada sekalian ahli Yang Berhormat untuk terus mengekalkan persefahaman yang telah terbina dan juga memelihara kestabilan politik yang telah tercapai,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah ekonomi Malaysia diunjurkan terus berkembang kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada 2022.

“Ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 3.1 peratus pada 2021 setelah mengalami penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada 2020 akibat pandemik Covid-19.

“Pemulihan pertumbuhan ekonomi menunjukkan keberkesanan lapan siri pakej bantuan dan rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion selain peruntukan Bajet 2022 yang telah disediakan,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan syabas terhadap kejayaan kerajaan menyediakan sejumlah 558,633 penempatan pekerjaan kepada rakyat berbanding sasaran 500,000 pada 2021.

“Antara petunjuk pemulihan ekonomi termasuklah kadar pengangguran yang semakin berkurangan dan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik.

“Bagi tahun 2022 di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia, kerajaan telah menyasarkan penyediaan hampir 600,000 peluang pekerjaan,” titah baginda.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya tumpuan diberikan kepada penyediaan infrastruktur luar bandar yang lebih baik dan berkualiti bagi menjamin kesejahteraan masyarakat di kawasan tersebut.

Ketidakseimbangan pembangunan dan ekonomi antara kelas pendapatan, wilayah dan negeri serta antara etnik mesti dikurangkan bagi memastikan kemakmuran negara dinikmati semua secara adil, titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah mahu penyediaan tempat tinggal yang kondusif diperluas melalui bantuan bina baharu serta pembaikan rumah yang uzur buat golongan miskin dan kurang berkemampuan selain mengutamakan akses kepada perumahan melalui inisiatif lebih mesra pendapatan.

Mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Seri Paduka bertitah Jawatankuasa Khas Pemantauan RMK12 perlu mengawasi pelaksanaan dan pencapaian rancangan hala tuju negara sebaik-baiknya bagi mencapai sasaran hasil dan setersunya memenuhi keperluan sosioekonomi.

Al-Sultan Abdullah bertitah komitmen kerajaan mengekalkan pembangunan sebagai agenda nasional terbukti dengan penyediaan peruntukan pembangunan bagi Rolling Plan Kedua RMK-12 berjumlah RM75.6 bilion bagi pelaksanaan 6,749 program atau projek.

“Beta menyeru agar semua program dan projek yang bakal dilaksanakan tersebut hendaklah siap mengikut jadual dan mematuhi kualiti yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat kepada rakyat beta,” titah Yang di-Pertuan Agong.

- Bernama