Datuk Bandar digesa tingkat mutu projek perumahan DBKL
Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru diharapkan dapat mempertingkatkan mutu Projek Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan menyediakan persekitaran kediaman yang lebih selesa, selamat serta memenuhi keperluan sosial dan budaya penduduk yang berlainan keturunan dan agama.
Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru diharapkan dapat mempertingkatkan mutu Projek Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan menyediakan persekitaran kediaman yang lebih selesa, selamat serta memenuhi keperluan sosial dan budaya penduduk yang berlainan keturunan dan agama.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Datuk Abdul Hakim Borhan (kiri), Ketua Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Dr Sanusi Osman berharap banyak perubahan dapat dilakukan demi kebajikan warga kota Kuala Lumpur
Di samping itu, katanya, pihaknya juga berharap DBKL akan menggalakkan peduduk yang menyewa rumah DBKL untuk membeli rumah tersebut sebagai satu usaha membantu rakyat memiliki rumah sendiri.
"Kami juga berharap Dewan Bandaraya akan merancang dan menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih efisien dan efektif bagi mengurangkan kesesakan lalulintas yang bertambah buruk di kawasan kota," kata Dr Sanusi dalam satu kenyataan hari ini..
Selain itu, tambahnya, penyediaan taman rekreasi dan kemudahan rekreasi yang mencukupi untuk warga kota adalah amat penting bagi menggalakkan aktiviti kemasyarakatan.
"Pihak DBKL juga harus bersikap adil, berperikemanusiaan dan rasional dalam melaksanakan Dasar "Setinggan Sifar", dengan menyediakan skim penempatan yang berpatutan," tambahnya.
Manakala pasukan penguatkuasa pula, tegas Dr Sanusi perlu bersikap lebih prihatin dan bertanggungjawab dengan memberi lebih banyak ruang perundingan dengan penduduk dan peniaga-peniaga kecil yang terlibat.
"Akhir sekali, kami berharap Dato' akan meningkatkan lagi ketelusan dan keterbukaan untuk menggalak penyertaan orang ramai dalam segala perancangan dan pembangunan di Kuala Lumpur," katanya.

