Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes SRC: Permohonan Najib tangguh rayuan berkaitan bukti baru ditolak
Diterbitkan:  Mar 2, 2022 5:37 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk menangguhkan prosiding rayuan berkaitan bukti baru dalam usahanya untuk mengetepikan sabitan kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang mengesahkan perkara berkenaan berkata permohonan bekas perdana menteri itu supaya tarikh perbicaraan rayuan dilapangkan, ditolak menerusi hantaran emel pagi ini.

“Sehubungan itu tarikh pendengaran dikekalkan sebagaimana yang dijadualkan,” katanya kepada Bernama menerusi teks pesanan ringkas WhatsApp.

Dua hari lepas peguam Najib menulis surat kepada mahkamah memohon supaya tarikh pendengaran itu dilapangkan kerana mereka masih mengumpulkan semua nota, bukti, dan dokumen yang berkaitan dengan perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi, bagi menyediakan hujah bertulis sebagai tambahan bukti untuk rayuan.

Pada 7 Dis 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru bagi rayuannya dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baru diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

Pada hari berikutnya mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Najib kemudiannya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan

-Bernama

Lihat Komen
ADS