Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
M'sia sokong resolusi PBB henti keganasan Rusia ke atas Ukraine
Diterbitkan:  Mar 3, 2022 4:22 AM
Dikemaskini: 4:25 AM

Malaysia mengundi menyokong Sidang Khas Kecemasan Ke-11 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menerima pakai resolusi “Tindakan keganasan ke atas Ukraine” pada Rabu.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia, dalam Penjelasan Undinya, mengulangi komitmen negara terhadap Piagam PBB, prinsip asas integriti wilayah serta kedaulatan sesebuah negara yang seharusnya tidak dicabuli oleh mana-mana negara.

“Meskipun Malaysia tidak bersetuju sepenuhnya dengan kandungan resolusi itu, ia menyatakan sokongan dan membuat undian ke atas resolusi berkenaan atas prinsip negara yang menghormati kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah sesebuah negara amat penting kepada Malaysia.

“Menekankan hubungan kerjasama yang erat dengan kedua-dua negara, Rusia dan Ukraine, Malaysia sedar situasi konflik itu adalah kompleks berikutan keadaan geopolitik serta perbezaan dalam pelbagai aspek yang terus menjadi kebimbangan kedua-dua negara, yang mesti ditangani melalui dialog dan cara aman," kata kenyataan itu.

Sambut baik rundingan damai

Dalam hal itu, Malaysia berpandangan supaya negara–negara terlibat perlu mencari jalan penyelesaian melalui dialog dan rundingan damai.

Dalam hal ini, Malaysia menyambut baik rundingan antara Rusia dan Ukraine di Belarus dan berharap agar rundingan damai itu berjaya mencapai kata putus.

Malaysia juga menggesa Majlis Keselamatan PBB terus mencari jalan penyelesaian terhadap konflik itu dan melaksanakan peranan utamanya dalam memastikan keamanan dan keselamatan sejagat.

“Sebagai sebuah negara anggota PBB yang bertanggungjawab, Malaysia mengulangi komitmen berterusan negara terhadap penyelesaian secara damai.

“Malaysia akan terus menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik itu demi mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, serta kemakmuran sejagat,” tambah kenyataan itu.

Resolusi itu, yang diterima pakai oleh majoriti 193 anggota Perhimpunan Agung PBB, menerima 141 undian berpihak, 5 membantah dan 35 berkecuali.

Penerimaan itu dibuat selepas Perhimpunan Agung mengadakan Sidang Khas Kecemasan mengenai situasi di Ukraine pada Isnin dan Selasa.

Resolusi yang disebut "Tindakan Keganasan Terhadap Ukraine” menuntut "Persekutuan Rusia segera menghentikan kekerasan terhadap Ukraine dan menghindari daripada sebarang ancaman yang menyalahi undang-undang penggunaan kekerasan terhadap mana-mana negara anggota PBB."

- Bernama

Lihat Komen
ADS