Permohonan seorang remaja perempuan untuk dibebaskan dengan ikat jamin selepas didakwa dalam kes pembunuhan bayi lelaki yang baru dilahirkan akan diketahui pada 8 Mac ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menetapkan tarikh keputusan berhubung permohonan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Kemaman yang tidak membenarkannya diikat jamin, sementara menunggu kes diputuskan di mahkamah.

Peguam yang mewakili remaja itu, Sangeet Kaur Deo berkata hakim Hassan Abdul Ghani hari ini mendengar hujah daripada pasukan peguam remaja itu serta timbalan pendakwa raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Nurhanisah SH Sahul Hamid.

“Keputusan ditetapkan pada 8 Mac 2022 jam 10.30 pagi,” katanya ketika dihubungi petang ini.

Pada 15 Feb lepas, remaja itu yang didakwa menikam bayi lelakinya yang baru dilahirkan sehingga mati didakwa atas tuduhan membunuh di Mahkamah Majistret di Kemaman, Terengganu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Menurut laporan Malay Mail, majistret Tengku Eliana Kamaruzaman menolak rayuan remaja itu untuk dibebaskan dengan ikat jamin.

Di bawah undang-undang Malaysia, Seksyen 302 adalah kesalahan yang tidak boleh diikatjamin, yang bermakna jaminan hanya diberikan mengikut budi bicara mahkamah.

Bagaimanapun, menurut peguam remaja itu Nurainie Haziqah, Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah membenarkan pengecualian dilakukan sekiranya individu yang didakwa sakit, bawah umur atau wanita.

“Kami juga pernah berhujah bahawa kes ini mempunyai kepentingan awam dan dilaporkan secara meluas oleh media. Mahkamah boleh menetapkan duluan (precendent) yang baik,” katanya dipetik sebagai berkata.

Peguam remaja itu kemudian memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan mahkamah majistret menolak untuk membenarkannya diikat jamin.

Sebelum dihadapkan ke mahkamah majistret, remaja itu direman tujuh hari pada Februari lalu bagi membantu siasatan polis.

Pihak berkuasa juga sedang mencari teman lelaki gadis berusia 20 tahun itu, kerana dipercayai merogolnya.

Dilaporkan bayi yang baru lahir itu ditemui mati pada 8 Feb lalu di rumah gadis itu di Felcra Sri Bandi di Chukai, Kemaman.

Mangsa dipercayai ditikam dengan objek tajam.