Kementerian Pelancongan bimbang jika hujan dan banjir besar di Johor berterusan, kelancaran sambutan Tahun Melawat Malaysia 2007 akan terjejas.

Menterinya, Datuk Tengku Adnan Mansor berkata, Johor merupakan pintu masuk kedua penting bagi pelancong luar ke negara ini selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Pelancong Rusia ramai tiba di Singapura sebelum masuk ke Malaysia melalui Johor Bahru. Pelancong Indonesia menjadikan Pulau Batam sebagai transit sebelum tiba di Setulang Laut atau Pasir Gudang," katanya dalam majlis pelancaran risalah dan bungkusan makanan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2000 di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian banjir yang melanda Johor dan beberapa negeri lain di Semenanjung sedangkan TMM07 hanya tinggal dua minggu sahaja lagi untuk dilancarkan.

Berikutan kedaaan banjir di Johor, majlis pelancaran kempen membahagikan risalah dan bungkusan makanan di Johor yang dijadualkan esok terpaksa ditangguhkan.

Hujan berterusan

"Kerajaan berharap situasi banjir yang sedang berlaku ini tidak berterusan kerana kita bimbang kemudahan-kemudahan asas akan rosak dan menganggu kedatangan pelancong," katanya.

TMM07 yang mensasarkan kemasukan pelancong seramai 20.1 juta orang akan dilancarkan pada 6 Januari ini. Promosi TMM07 membabitkan kos RM200 juta.

Banjir di Johor dan Melaka semakin teruk hari ini dengan hampir 50,000 mangsa dipindahkan sehingga pagi ini. Di Johor Bahru sahaja, seramai 8,340 mangsa dipindah.

Di samping itu, 5,245 mangsa banjir dipindahkan di Segamat, Batu Pahat (4,708), Kota Tinggi (4,114), Pontian (2,762) dan Mersing (235).

Keadaan di Melaka juga dilaporkan semakin buruk dengan seramai 3,937 mangsa di daerah Melaka Tengah dipindah ke 20 pusat pemindahan sehingga jam 8 pagi tadi.