Banjir yang melanda enam negeri di Semenanjung telah meragut enam nyawa setakat ini dengan hampir 80,000 mangsa dipindahkan di Johor, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Mereka yang menjadi mangsa banjir sehingga ini ialah empat di Segamat dan dua di Kluang.

Sehingga ini terdapat 8,759 mangsa banjir dipindahkan di Johor Bahru, Kota Tinggi (9,712), Kluang (10,964), Muar (17,095), Batu Pahat (5,324), Pontian ( 3,540), Segamat (8,906) dan Mersing (442).

Kesemua penduduk yang dipindahkan adalah dari 210 kampung membabitkan 13,072 keluarga. Manakala keadaan banjir di bandar Kota Tinggi dijangka bertambah buruk ekoran air pasang di Sungai Johor dijangka berlaku pagi ini.

Bagaimanapun, empat jalan utama di Kluang Batu 27 Jalan Mersing-Kluang, Batu 31 Jalan Mersing-Kluang, Jalan Palembang Baru-Kluang dan Jalan Kluang-Kota Tinggi sudah mula dibuka untuk lalulintas.

Sungai di sekitar daerah itu masih berada di paras bahaya manakala Empangan Machap pula di paras 18.10 meter juga di paras bahaya.

Manakala seluruh bandar Segamat sudah boleh dilalui pelbagai kenderaan mulai awal pagi ini dan tinjauan Bernama mendapati seluruh bandar sudah sesak dengan kenderaan dan anggota polis mengawalo lalulintas. Ia juga penuh dengan sampah sarap.

Mangsa meningkat

Di Pahang, mangsa banjir meningkat kepada 3,763 orang paling ramai di Kuantan (2,092) yang ditempatkan di 14 pusat pemindahan sehingga jam 9 pagi ini. Yang lainnya dipindahkan Panching, Bukit Setongkol, Sungai Isap dan Jaya Gading.

Jumlah mangsa yang dipindahkan di Rompin juga meningkat kepada 1,469. Di Maran, 202 mangsa banjir ditempatkan di enam pusat pemindahan sehingga pagi ini. Bagaimanapun, jumlahnya mungkin berkurangan petang ini berikutan air mulai surut, bergantung kepada keadaan cuaca.

Keadaan banjir di daerah Melaka Tengah dilaporkan bertahan dan bilangan mangsa banjir juga sudah berkurangan. Terdapat 6,392 orang di 21 pusat pemindahan malam tadi.

Kawasan terbabit ialah Batu Berendam, Tanjung Minyak, Tengkera, Tiang Dua, Melaka Tengah, Kandang, Malim, Bukit Baru dan Taman Angkasanuri.

Bagaimanapun, menurut polis, lapan jalan utama di daerah tersebut, kebanyakannya di Batu Berendam dan Malim, masih ditutup berikutan air naik 1 hingga 1.5 meter.

Di Jasin pula, kawasan Sungai Rambai dilaporkan air masih naik dan mangsa yang dipindahkan meningkatkan kepada 2,592 orang malam tadi.

Bagaimanapun, banjir di beberapa kawasan di Alor Gajah dilaporkan surut dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 599 orang.

Di Kelantan, keadaan banjir dilaporkan semakin baik dengan sebahagian besar mangsa banjir yang dipindahkan di Gua Musang sudah pulang ke rumah masing-masing.

Hujan lebat

Bagaimanapun, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri di Kota Darul Naim berkata, penduduk di tebing Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Rantau Panjang dinasihati bersiap sedia berikutan paras air semakin meningkat.

"Sehingga pagi ini, 261 orang mangsa masih berada di pusat-pusat pemindahan di Gua Musang berbanding malam tadi seramai 594 orang," katanya, sambil menambah tiada jalan utama di Gua Musang tang ditutup dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, walaupun paras air Sungai Kelantan di pedalaman iaitu di Dabong dan Tualang dilaporkan semakin surut, paras air di Tambatan Diraja di Kota Bharu semakin naik. Bacaan pada jam 9 pagi ini ialah 3.94 meter (waspada 3 meter/bahaya 5 meter), berbanding 3.84 meter dua jam sebelumnya.

Sungai Golok di Rantau Panjang kini pada bacaan 8.09 meter (waspada 7 meter/bahaya 9 meter).

Keadaan cuaca di Kelantan kini hujan lebat sekali sekala terutama di jajahan Kota Baharu.

Di Bachok, angin kencang dan ombak besar yang melanda Pantai Irama sejak beberapa hari lalu telah memusnahkan lapan buah rumah di Kampung Pulau Belongan yang ranap dipukul ombak kuat dan beberapa buah lagi menunggu masa untuk rebah.

Penduduk yang ditemui mendakwa ombak besar yang berlaku di waktu malam sejak dua hari lalu, hampir memusnahkan rumah penduduk yang terletak kira-kira 100 meter dari pantai serta menghakis sebahagian besar Pantai Irama.

Di Seremban, keadaan banjir di Negeri Sembilan semakin pulih dan hanya kawasan Gemas yang masih ditenggelami air. Kawasan Tampin dan Gemenceh keadaan pulih sepenuhnya dan hanya 574 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan.