Satu perhimpunan Pemuda PAS 2006 akan diadakan di Kota Bharu esok sebagai persediaan pergerakan itu mengembleng tenaga bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Ia akan menghimpunkan seluruh jentera pemuda PAS dari seluruh negara bagi mengukur keutuhan organisasi Pemuda PAS di peringkat kawasan dan cawangan," kata penyelarasnya, Safarizal Salleh.

Katanya, seramai 15,000 pemuda PAS akan menghadiri ke perhimpunan sehari ini sebagai membuktikan kekuatan jentera pemuda di seluruh negara yang menjadi tonggak kekuatan parti.

"Himpunan ini menjadi ukuran awal pencapaian Dewan Pemuda PAS di dalam usaha menyusun struktur organisasi dan keahlian Pemuda PAS.

"Usaha ini akan diteruskan selepas daripada ini dengan sokongan semua pemuda yang bersama-sama menyatakan iltizam mereka di dalam Himpunan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Amanat pemimpin

Menurutnya, himpunan tersebut juga merupakan satu pernyataan kesediaan Pemuda PAS menggerakkan jentera pilihanraya bagi menghadapi pilihanraya umum ke-12 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

"Pemuda PAS berikrar dan berazam untuk memberikan sepenuh tenaga dan usaha bagi memenangkan PAS di dalam pilihanraya yang akan datang," katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub akan menyampaikan ucaptama di himpunan itu yang bertemakan 'Pemuda Peneraju Kebangkitan'.

Manakala amanat pimpinan PAS pusat akan disampaikan oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Perhimpunan itu akan diadakan dari jam 8 pagi hingga 6 petang bertempat di Padang Perdana, Kota Bharu.