Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AKSB bertindak tegas pada pekerja berniaga sambilan ketika bertugas

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil tindakan terhadap kakitangannya yang melakukan perniagaan sambilan ketika waktu kerja.

Perkara itu dikongsi Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor, ketika menyampaikan ucapan secara santai pada majlis apresiasi media Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

Dia menegaskan pentingnya keberkatan dalam mencari rezeki, berkata seseorang yang diberi tanggungjawab perlu menjalankan tugasannya dengan baik bersesuaian amanah yang digalas.

"Dalam kehidupan seharian kita kena ambil serius soal halal, haram, dosa, pahala dan syurga, neraka.

"Begitu juga dalam bekerja, masuk kerja jam berapa, kita balik jam berapa semua akan diambil kira sebab itu tanggungjawab.

"AKSB sendiri ada ambil tindakan terhadap kakitangannya kerana berniaga ketika bertugas.

"Kerana dia diberi tanggungjawab dan dibayar gaji. Jadi kena jujur agar rezeki kita berkat," katanya.

Menurut Adun Kadok itu lagi, setiap orang diberi kelebihan dan ilmu serta perlu melunaskan peranan masing-masing termasuk dalam bidang pekerjaan.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan AKSB, Azami berkata kerajaan negeri memperuntukan RM49 juta untuk pembangunan lapan loji mini serta membaik pulih sistem proses rawatan air bagi menyelesaikan masalah air secara berperingkat kepada rakyat di Kelantan.

Menurutnya, kos keseluruhan pembangunan lapan loji mini termasuk membaik pulih sistem proses rawatan air membabitkan loji di Teluk Mesira, Ketereh, Jelawat, Wakaf Bharu, Kadok, Meranti, Kedai Buloh, dan Telong serta membaik pulih sistem proses rawatan air di Loji Rawatan Air (LRA) di Ketereh dan LRA Perol.

"Bagaimanapun, hanya terdapat satu pembangunan loji mini iaitu di Kedai Buloh yang baru di peringkat mengenalpasti tapak membabitkan tanah milik yang kini dalam proses jual beli.

"Tujuan pembangunan loji mini ini adalah disebabkan kosnya yang murah dan sekiranya membabitkan kawasan yang sempit ia memudahkan AKSB untuk mengenal pasti paip yang pecah dan sebagainya.

"Saya juga berharap dengan pembangunan loji mini ini akan dapat menambah jumlah akaun pengguna iaitu antara 300,000 hingga 350,000 berbanding 260,000 akaun sebelum ini," katanya.

Lihat Komen
ADS