Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Adakah Shahidan masih yakin pengurusan banjir negara yang terbaik?'
Diterbitkan:  Mar 8, 2022 1:46 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

PARLIMEN l Ahli Parlimen DAP mempersoalkan keberadaan Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim ketika banjir kilat melanda ibu negara petang semalam.

Teresa Kok (DAP-Seputeh) turut bertanyakan Ahli Parlimen Arau itu apakah sistem pengurusan banjir di negara ini masih lagi yang terbaik seperti dakwaannya sebelum ini.

"Mana YB (Yang Berhormat) Arau bila banjir berlaku, apakah dia ada di Kuala Lumpur atau di Johor, adakan beliu melihat kedahsyatan yang berlaku di Kuala Lumpur semalam," katanya ketika berucap membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, hari ini.

Untuk rekod, Shahidan bersama-sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah berada di salah satu kawasan yang dilanda banjir kilat iaitu dekat Jalan Tun Razak.

Kok berkata pada Nov 2013 Shahidan yang ketika itu menteri di jabatan perdana menteri mendakwa sistem pengurusan banjir di negara ini adalah yang terbaik di dunia.

Malah Shahidan seperti dilaporkan media berkata pengurusan banjir di Malaysia adalah lebih baik berbanding negara lain, termasuk Amerika Syarikat.

Semalam, Teresa mendakwa kenyataan Shahidan yang dipetik media pada Nov 2013 itu kembali tular selepas Kuala Lumpur dilanda banjir kilat.

Soal ahli Parlimen Seputeh itu lagi apakah Shahidan masih percaya pengurusan banjir di Malaysia adalah yang terbaik berbanding negara lain.

"Saya nak tanya YB Arau (masih) percaya kenyataan yang dikeluarkan di masa itu? Sekarang YB Arau sudah jadi menteri wilayah," katanya.

Dalam pada itu Teresa meminta kerajaan mengkaji kelulusan pembinaan lebih banyak bangunan pencakar langit di ibu kota.

Katanya, pembangunan yang semakin bertambah, namun sistem perparitan tidak diperluas antara faktor banjir kilat melanda negara.

"Saya bimbang dengan perkara ini dan meminta cadangan pembinaan rumah pencakar langit untuk atasi masalah kediaman ini ditangguhkan.

"Jika mahu melaksanakan projek di kawasan berkepadatan tinggi ini, aspek alam sekitar perlu di ambil kira dan dalam masa yang sama peparitan tidak dibesarkan, ia perlu di ambil kira begitu juga kesesakan lalulintas," katanya.

Lihat Komen
ADS