Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hutang 1MDB: Saya akan jelaskan di parlimen lepas PRN Johor - Najib

Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata dia akan memberikan penjelasan kepada Dewan Rakyat berhubung kenyataannya - bahawa hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan wang pembayar cukai- selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor selesai.

Bercakap kepada pemberita di Bukit Gambir, Johor hari ini, Ahli Parlimen Pekan itu berkata dia akan berhubung dengan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun esok.

Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai surat speaker yang meminta dia memberikan penjelasan kepada Dewan Rakyat berhubung perkara itu.

"Saya akan jawab balik.

"Esok tak boleh sebab saya ada di Johor. Saya akan berhubung dengan dia, lepas PRN saya jelaskan," katanya.

Semalam dilaporkan Azhar telah menulis surat kepada bekas perdana menteri itu untuk meminta dia memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat pada Rabu ini.

Azhar itu berkata demikian ketika ditanya di parlimen mengenai usul Tony Pua (PH-Damansara) agar Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) Dewan Rakyat berhubung kenyataan itu.

Pua mengemukakan usul itu susulan ucapan Najib di Dewan Rakyat pada 2 Mac lalu yang dikatakan mengandungi kenyataan mengelirukan Dewan berhubung isu hutang 1MDB dan boleh ditafsirkan sebagai menghina Dewan Rakyat.

Najib ketika membahaskan titah yang di-Pertuan Agung di Dewan Rakyat sebelum ini berkata tiada dana awam digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Bagaimanapun, kenyataan itu disangkal oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

'Mengarutlah'

Kenyataan Najib itu juga menimbulkan kemarahan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang menyangkal dakwaan bahawa tiada dana awam digunakan untuk membayar balik jumlah pokok hutang 1MDB.

Menurut Muhyiddin, hutang 1MDB dijamin oleh kerajaan dan oleh itu apabila 1MDB gagal membayar balik hutangnya, kerajaanlah yang terpaksa mengeluarkan wang untuk membayar hutang.

Najib semasa sidang akhbar hari ini menganggap kenyataan pengerusi Perikatan Nasional itu sebagai “mengarut".

Dia mendakwa wang yang digunakan kerajaan adalah wang yang diperoleh daripada bank pelaburan Goldman Sachs, dan bukan daripada pembayar cukai.

"Itu bukan wang rakyat. Goldman Sachs duit rakyat ke?

"Di mana dia kata duit rakyat? Duit Goldman Sachs, dibayar dari Goldman Sachs. Bukan duit rakyat, mengarutlah," katanya.

Lihat Komen
ADS