Majlis daerah arah pembinaan banglo Adun Machap dihentikan
Majlis Daerah Simpang Renggam telah mengarahkan supaya pembinaan banglo milik Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Machap, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman di Taman Bahtera, diberhentikan kerana pelannya belum diluluskan.
Majlis Daerah Simpang Renggam telah mengarahkan supaya pembinaan banglo milik Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Machap, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman di Taman Bahtera, diberhentikan kerana pelannya belum diluluskan.
Jurucakapnya berkata, arahan itu dikeluarkan dua minggu lalu dan kerja pembinaan hanya boleh diteruskan sekiranya permohonan pelan tersebut diluluskan.
Menurunya, permohonan tersebut kini berada di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kluang untuk proses menukarkan status tanah pertanian kepada komersil.
Selepas penukaran status tanah diluluskan, katanya, barulah Majlis Daerah Simpang Renggam akan memproses permohonan pelan pembinaan banglo Abdul Hamid.
Banglo Abdul Hamid (kanan) dibina di kawasan seluas 5,000 kaki persegi. Terdapat 16 lot kedai dan 15 rumah yang sedang dibina di kawasan tersebut.
Jurucakap itu berkata, Majlis Daerah Simpang Renggam akan mendapatkan maklumbalas dari beberapa jabatan dan agensi lain seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Syarikat Air Johor (SAJ), Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum permohonan pelan diluluskan.
Sijil kelayakan
"Sehingga hari ini permohonannya belum diluluskan dan ini bermakna kami terpaksa menahan kerja-kerja pembinaan banglo Datuk Abdul Hamid," katanya ketika dihubungi semalam.
Abdul Hamid baru-baru ini mengaku kepada malaysiakini bahawa pembinaan banglonya yang terletak di tengah-tengah pekan Simpang Renggam itu, tidak mendapat kelulusan Majlis Daerah Simpang Renggam.
Bagaimanapun, katanya beliau sudah mengemukakan pelan pembinaan banglo itu untuk mendapatkan kelulusan majlis tersebut.
Jurucakap itu berkata, Abdul Hamid juga akan dikenakan denda RM10,000 iaitu 10 kali kadar bayaran pelan pembinaan (RM1,000).
"Denda tersebut dikenakan serentak dengan kelulusan pelan dikeluarkan dan jika tidak dijelaskan beliau tidak akan mendapat Sijil Layak Menduduki (CF)," katanya.
Menurutnya, pihaknya juga mengenakan denda kepada pemilik rumah dan lot kilang kecil lain yang membina rumah dan kilang tanpa kelulusan majlis daerah.

