Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 5.5 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2006.

Berikutan itu, urusniaga dana ASN akan digantung mulai 23 Disember hingga 2 Januari 2007 bagi tujuan mengira pengagihan pendapatan untuk 2006.

Menurut laporan Bernama, pengagihan pendapatan itu akan melibatkan pembayaran sebanyak RM94.67 juta kepada 1.22 juta pemegang unit yang melanggan 1,712.3 juta unit ASN.

"Pembayaran pengagihan pendapatan ASN akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan di dalam buku pelaburan pemegang unit, berdasarkan nilai asset bersih ASN pada 31 Disember 2006," kata Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid hari ini.

"Para pemegang unit boleh mengemaskinikan buku pelaburan ASN masing-masing di pejabat-pejabat ASNB atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara, mulai 3 Januari 2007," katanya pada pemberita selepas mengumumkan mengenainya hari ini.

Jumlah agihan pendapatan tahun ini sama seperti tahun lalu, tetapi jumlah pembayarannya kurang daripada 2005, iaitu berjumlah RM99.50 juta.

Ahmad Sarji berkata, sehingga 21 Disember tahun ini, dana ASN memperoleh pendapatan kasar RM113.90 juta berbanding RM110.97 juta tahun lalu.

Pulangan modal meningkat

Menurutnya, pendapatan daripada jualan saham menyumbang RM66.63 juta, diikuti pendapatan dividen daripada syarikat pelaburan RM43.05 juta, manakala baki RM4.22 juta adalah daripada pendapatan pelaburan jangka pendek.

Antara sektor pelaburan utama ASN ialah sektor kewangan (40.48 peratus), perkhidmatan (35.43 peratus), perladangan (7.97 peratus) dan barangan industri (4.17 peratus).

Mengulas mengenai agihan pendapatan ASN untuk tahun ini, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata walaupun pembayaran tidak berubah, pulangan modal bagi pelaburan telah meningkat selaras dengan prestasi semasa Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI).

Nilai aset bersih (NAB) ASN telah meningkat 33.87 peratus daripada 0.6174 sen seunit pada 31 Dis, 2006 kepada 0.8265 seunit pada 21 Disember 2006," katanya.

Bagi tahun hadapan, katanya, PNB akan terus mengekalkan paras agihan pendapatan dan pertambahan modal yang baik bagi pemegang unit melalui portfolio pelaburan yang pelbagai.

ASN juga melabur dalam sektor barangan pengguna, pembinaan, hartanah, infrastruktur dan teknologi, kata Hamad Kama Piah.

Pemegang unit akan menerima penyata pengagihan pendapatan dan laporan tahunan mulai hujung bulan Februari tahun depan.