Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Chong minta maaf jadi ‘katak’, tetapi percaya tindakannya betul
Diterbitkan:  Mar 9, 2022 1:06 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

PRN JOHOR l Tiga hari menjelang hari pengundian, calon Perikatan Nasional bagi Tangkak Dr Chong Fatt Full memohon maaf kepada pengundi berhubung keputusannya untuk meninggalkan PKR pada 2020.

Chong menulis di laman Facebook bahawa adalah "menyayat hati" membaca komen negatif "setiap pagi" dan dipanggil "katak".

“Saya benar-benar kesal kerana keputusan saya mengecewakan kamu, ramai daripada pengundi mengharapkan perubahan sama seperti saya.

"Ia sememangnya salah satu keputusan paling sukar yang perlu saya buat sepanjang hidup saya," tulisnya.

Chong, 62, dipilih sebagai Adun Pemanis atas tiket PKR semasa pilihan raya umum 2018 dan kemudiannya dilantik sebagai anggota exco Johor.

Dia meninggalkan PKR pada Mac 2020. Enam bulan kemudian, dia menjadi ahli bersekutu Bersatu.

Jelas Chong, sebagai seorang doktor gigi di Tangkak, dia mendengar banyak rungutan penduduk tempatan dan menceburi bidang politik untuk membawa perubahan.

"Apabila tsunami rakyat memberikan kami mandat untuk mentadbir pada 2018, semua orang berasa gembira. Buat pertama kalinya, langit kelihatan lebih cerah. Pertarungan yang telah kita perjuangkan selama ini nampaknya berbaloi.

"Malangnya, kemenangan bersejarah kita tidak berpanjangan. Entah bagaimana, sepanjang perjalanan ketamakan dan nafsu kuasa menguasainya dan parti menjadi mangsa perebutan kuasa dalaman.

"Tiba-tiba, mesyuarat parti bukan lagi mengenai strategi ekonomi negara dan penyelesaian kepada masalah harian rakyat - dua sebab utama yang memberi inspirasi kepada saya untuk terjun ke politik," katanya.

Kekal dalam PKR, katanya, akan mengaitkannya dengan "puak yang bersekongkol" yang keutamaan mereka adalah untuk mendapatkan lebih banyak kuasa tetapi meninggalkan parti pula akan menyaksikan "kehidupannya mengundang cemuhan dan kemarahan orang ramai".

Memetik Roy Disney, Chong berkata dia tahu nilainya dan bertindak mengikutnya.

"Mungkin tidak akan ada jumlah permohonan maaf dan penjelasan yang mencukupi untuk tindakan saya yang lalu. Dan mungkin, saya ditakdirkan untuk hidup dengan dipersendakan oleh rakan-rakan sesama rakyat Malaysia.

"Tetapi di sebalik semua ini, saya akan berpegang teguh pada janji bahawa saya dengan segala kemampuan akan terus berkhidmat dan lebih-lebih lagi, meletakkan mata pencarian rakyat Malaysia di bahagian teratas senarai keutamaan saya jika masih diberi peluang," katanya.

Pertandingan untuk merebut - sebuah bandar berhampiran sempadan dengan Melaka - adalah pertandingan empat penjuru antara Pakatan Harapan-DAP (penyandang), BN-MCA, PN-Bersatu dan Pejuang.

Lihat Komen
ADS