Keadaan banjir di Johor semakin pulih tetapi masih terdapat 40,593 mangsa di pusat pemindahan dan beberapa batang jalaln masih belum boleh dilalui.

Jumlah korban banjir di Johor setakat ini ialah lapan orang manakala usaha mencari pembantu sebuah pasaraya di bandar Kota Tinggi, Mohamed Lokman Zakaria,17, yang dikhuatiri mangsa lemas terbaru daerah itu, disambung pagi ini.

Menurut laporan Bernama, jumlah mangsa banjir teramai di tempat di pusat pemindahan ialah di Batu Pahat (27,204), Kota Tinggi (5,529) dan Segamat (3,922), Muar (1,984), Pontian (865), Mersing (618) dan Kluang (471).

Manakala semua mangsa banjir di Johor Bahru sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan semua laluan di Kota Tinggi juga sudah dibuka.

Bagaimanapun, Jalan Segamat-Tangkak, Jalan Segamat-Gemas, Jalan Yong Peng-Segamat di KM5 Kampung Lam Lee masih tidak boleh dilalui kenderaan.

Di Muar pula, jalan yang tidak boleh dilalui ialah Jalan Pagoh-Lenga, Jalan Bukit Kepong-Labis, Jalan Batu 30 Pagoh-Lenga, Jalan Pagoh-Panchor dan Jalan Sungai-Mati.

Mangsa di Pahang meningkat

Kebanyakan paras sungai di Johor berada di tahap berjaga-jaga Sungai Segamat di Buluh Kasap (10.7 meter), Sungai Segamat (9.05 meter), Sungai Muar (6.4 meter), Sungai Bekok (6.6 meter), Sungai Sembrong (4.11meter).

Sungai Skudai di Johor Baharu pula di paras normal (6.29 meter). Empangan Bekok berada di tahap amaran (8.5m), Empangan Semberong masih di tahap berbahaya (12.05 meter) dan Empangan Machap pada tahap amaran (17.2 meter).

Sementara itu, mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 2,688 yang kini ditempatkan di 18 pusat pemindahan di Rompin (1,146) dan Pekan (1,542) sehingga jam 8 pagi ini, kebanyakannya yang tinggal berhampiran sungai kerana paras air yang naik sedikit.

Di Melaka pula, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 12 pusat pemindahan di negeri itu berkurangan kepada 4,200 orang pagi ini berbanding 4,438 malam tadi.

Jumlah mangsa teramai ialah di Jasin (3,785) orang manakala Melaka Tengah (415).

Walaupun tidak hujan, keadaan cuaca mendung pagi ini.