Tugu peringatan di Nilai mengelirukan...
Pembinaan tugu memperingati 'pahlawan' Cina menentang penjajahan Jepun di Tanah Melayu oleh Gecinta di Taman Peringatan Nilai hanya akan menimbulkan kekeliruan, kata Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Mohd Ridhuan Tee.
Pembinaan tugu memperingati 'pahlawan' Cina menentang penjajahan Jepun di Tanah Melayu oleh Gecinta di Taman Peringatan Nilai hanya akan menimbulkan kekeliruan, kata Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Mohd Ridhuan Tee.
Katanya, penentangan orang Cina terhadap Jepun bukanlah bertujuan semata-mata untuk memerdekakan negara daripada penjajahan, tetapi lebih kepada sejarah politik yang dilalui oleh negara China dan Jepun.
"Justeru, tidak timbul soal pembinaan tugu peringatan 'pahlawan-pahlawan' Cina yang gugur menentang Jepun kerana agendanya begitu berlainan," kata Mohd Ridhuan dalam tulisannya yang disiarkan di muka 11 akhbar
Utusan Malaysia
hari ini.
Ekoran itu, beliau bersetuju dengan pandangan bahawa pembinaan tugu tersebut hanya akan membawa kembali imbasan kepada Parti Komunis Malaysia (PKM) yang menurutnya pernah menimbulkan masalah kepada negara satu ketika dahulu.
Persoalannya, tegas Mohd Ridhuan, apakah Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA) benar-benar berjuang untuk kemerdekaan negara atau ada cerita sebaliknya.
"Kita perlu memahami sejarah kenapa orang Cina menentang orang Jepun yang menjajah negara kita? Kenapa MPAJA ditubuhkan," katanya sambil menambah, China dan Jepun mempunyai sejarah politik yang agak panjang, dan dari segi politiknya adalah musuh sehingga hari ini.
British ambil kesempatan
"Semasa penjajahan, Jepun mengamalkan dasar anti-China dan menganggap orang Cina sebagai musuh tradisi mereka. Orang Cina di Tanah Melayu tidak ketinggalan. Mereka mendapat layanan buruk dari penjajah Jepun, berbanding orang Melayu," katanya.
Mohd Ridhuan memetik kajian Victor Purcell di mana di Singapura sahaja, hampir 4,000 orang Cina telah dibunuh beramai-ramai tanpa mengira sama ada mereka bersalah atau tidak, dan ramai pula yang dianiaya dan diseksa.
"Pelbagai sekatan dan tekanan dikenakan seperti dipaksa membayar cukai kepala, dihalang menghantar wang ke negara China, disekat keluar rumah dan sebagainya, menyebabkan ramai orang Cina terpaksa melarikan diri ke hutan.
"Sebagai tindak balas, orang Cina menyertai PKM. PKM pula mengambil kesempatan ini untuk menyatukan orang Cina dengan menubuhkan MPAJA sebuah pertubuhan bercorak tentera yang ditubuhkan oleh PKM pada 1942," tambahnya.
Menurut Mohd Ridhuan lagi, walaupun keanggotaan MPAJA dibukan kepada semua kaum, tetapi rata-rata orang Cina menjadi anggotanya sebagai tindak balas terhadap kekejaman Jepun dan pada 1943, British turut menggunakan kesempatan itu bekerjasama dengan MPAJA menentang Jepun.
"Usaha Jepun memerangani PKM dan MPAJA sebenarnya membawa kesan buruk kepada hubungan kaum di Tanah Melayu kerana sebahagian besar polis Jepun adalah terdiri daripada orang Melayu.
"Jepun menggunakan orang Melayu untuk menentang orang Cina. Hubungan antara orang Cina dengan Melayu semasa penjajahan Jepun sudah menimbulkan pelbagai persepsi antara satu sama lain," katanya.
Undang kekeliruan
Jelas, kata Mohd Ridhuan, faktor sejarah memainkan peranan penting dalam sosialisasi politik antara dua kaum terbesar itu.
Ekoran itu, beliau membuat kesimpulan bahawa penentangan orang Cina terhadap Jepun bukanlah bertujuan semata-mata untuk kemerdekaan negara daripada penjajahan, tetapi agenda mereka turut dipengaruhi oleh sejarah kedua negara berkenaan China dan Jepun.
Oleh itu, beliau berpendapat pembinaan tugu peringatan tersebut hanya akan mengundang kekeliruan.
Mohd Ridhuan juga bertanya mengapa orang Cina tidak bersama-sama orang Melayu menentang Malaysian Union ciptaan British.
"Jawapannya mudah, kerana Malayan Union menguntung orang Cina dan tidak menguntung orang Melayu." katanya sambil menambah. Malayan Union menggalakkan lagi penghijrahan lebih besar ke Tanah Melayu dan syarat menjadi warganegara Tanah Melayu telah dilonggarkan.
"Kita tidak menafikan sumbangan orang Cina terhadap kemerdekaan dan pembangunan negara. Tetapi dalam konteks sumbangan MPAJA, tidaklah sampai ke tahap membina tugu khas untuk mengenang jasa mereka," katanya.

