Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata PAS dan gabungan yang dianggotainya, Perikatan Nasional (PN) menerima keputusan PRN Johor semalam dengan "hati yang lapang".

Pada masa sama, Abdul Hadi menyifatkan keputusan semalam menunjukkan peningkatan sokongan ketara di kebanyakan kerusi yang ditandingi gabungan itu.

"PAS turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang telah mengundi calon-calon PN, khususnya yang dikemukakan oleh PAS.

"Sokongan yang diberikan adalah amat bermakna bagi meneruskan agenda prihatin, berintegriti dan berkebajikan, demi kemaslatan negeri dan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

PRN Johor yang selesai semalam menyaksikan BN meraih majoriti dua pertiga apabila menang 40 daripada 56 kerusi DUN.

PN pula hanya tiga kerusi dan salah satunya adalah menerusi PAS di Maharani. PAS bertanding di 15 kerusi.

‘Kalau tak, kena lipat kali kedua’

Dalam pada itu, dua pemimpin PAS iaitu Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Khairuddin Aman Razali pula berkata PAS perlu membuat penambahbaikan bagi menghadapi PRU akan datang.

Untuk rekod, kedua-duanya dilihat sebagai tokoh dalam PAS yang lebih cenderung kepada kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama Umno.

"Tahniah semua parti yang kalah. Positif. Tak ada ucapan dan rakaman takziah lagi. Takut sedih memanjang pula.

"Tahniah Umno, rakan PAS dalam MN walaupun tengah sakit. Pesanan budiman, mesti islah dan tambah baik diri. Kalau tak, akan kena lipat kali kedua lebih teruk," kata Nik Abduh yang merupakan anggota Jawatankuasa Pusat PAS dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Khairuddin yang merupakan ahli Parlimen Kuala Nerus pula menyifatkan PAS tidak kalah sebaliknya "belum menang" dan parti itu boleh terus berjihad sebagai pembangkang yang mesra dan bersikap matang.

"Alhamdulillah. PAS menang kembali kerusi DUN Maharani yang pernah dimenangi dulu pada 2008 dan 2013. Boleh menang semula juga DUN Bukit Pasir jika dicampur dengan undi bekas wakil rakyat yang bertanding bebas.

"Lagi 13 kerusi PAS tidak kalah cuma belum menang tetapi insya-Allah terus menang mendapat redha Allah. Kalah itu biasa bagi PAS. Menang itu luar biasa. PAS bersedia untuk kalah dan menang dalam pilihanraya kerana neraca kemenangan PAS bukan pada angka undi tetapi pada kerja-kerja perjuangan yang dilaksanakan," katanya.

Pada masa sama, dia yang digugurkan daripada jawatan setiausaha Majlis Syura PAS pada Februari lalu berkata parti itu masih akan terus mencuba strategi baru bagi mengharapkan kemenangan pada PRU akan datang.

Katanya, muhasabah boleh dibuat namun ahli tetap akan terus patuh dengan arahan kepimpinan, maka kepimpinan mesti membuat keputusan strategi yang lebih tepat dengan kajian yang lebih halus.

"Harus mendengar pandangan ahli bawahan dan jentera tempatan yang hidup bergelumang dengan rakyat setempat untuk kita mengukur baju di badan sendiri," katanya dalam kenyataan malam tadi.