Gabungan anti-kenaikan kadar tol menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menggantung kenaikan kadar tol baru di lima lebuhraya utama di Lembah Kelang mulai Isnin ini.

Jika Perdana Menteri gagal berbuat demikian, rakyat akan mengadakan bantahan terhadap kenaikan kadar baru tol itu, kata gabungan itu dalam memorandum yang diserahkan kepada Abdullah hari ini.

Gabungan yang dianggotai oleh beberapa badan bukan kerajaan dan parti-parti politik itu, merancang menganjurkan satu bantahan besar-besaran pada 7 Januari depan.

"Demi kepentingan rakyat, kami menggesa kerajaan supaya telus dala menjawab persoalan kami mengenai kenaikan kadar tol itu.

"Rakyat berhak mengetahui proses membuat dasar, terutama bila kita diminta berkongsi beban kewangan kerajaan," kata memorandum tiga muka surat itu.

Menurutnya, kerajaan harus mengadakan semakan secara terbuka dan komprehensif terhadap konsesi lebuhraya untuk mencari jalan bagi mengurang beban rakyat dan pembaziran wang rakyat.

Bantahan atau nasi kunyit

Memorandum itu diserahkan oleh pengerusi gabungan tersebut, Syed Shahir Syed Mohamud, yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), kepada pejabat Perdana Menteri di Putraya pagi ini.

Turut sama ialah kira-kira 40 pemimpin pembangkang, badan bukan kerajaan dan wakil kesatuan sekerja yang membawa kain rentang ketika berkumpul di luar Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kira-kira jam 11 pagi, 10 wakil gabungan tersebut dibenarkan masuk ke dalam bangunan JPM untuk menyerahkan memorandum itu yang disokong oleh 10 pertubuhan, termasuk parti pembangkang.

Syed Shahir memberitahu hadirin kemudiannya, memorandum tersebut diterima oleh Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Ahmad Yaacob. Menurutnya, Abdullah sedang bercuti.

"Jika kenaikan kadar tol diteruskan, maka kita akan menggerakkan rakyat dan mengadakan bantahan pada 7 Januari ini di sepanjang Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)," katanya.

"Bagaimanapun, jika kerajaan mengambil keputusan menggantung kenaikan tersebut, bantahan itu tidak akan diadakan dan kita akan mengadakan jamuan nasi kunyit untuk merayakannya," kata Syed Shahir diikuti tepukan gemuruh hadirin.

Turut berucap ialah beberapa pemimpin seperti Setiausaha Agung penaja Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan dan Pemangku Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Turut hadir ialah Ketua Publisiti DAP, Teresa Kok; Ketua Biro Penerangan PKR, Tian Chua; pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli dan Mahfuz Omar.

Beban ditanggung pekerja

Bala Murugam, 32, seorang juruteknik syarikat pengeluar barangan elektrik, JVC di Shah Alam, berkata, kenaikan kadar tol itu akan membebankan lagi kehidupannya.

"Saya memandu ke tempat kerja dari rumah saya di Kelang ke Shah Alam. Dengan kadar baru tol itu, saya akan terpaksa membayar RM2.20 dan bukan lagi RM1.50 seperti sekarang," katanya ketika ditemui pagi ini.

"Ia akan lebih membebankan, terutama pekerja seperti kami. Kerajaan telah menaikkan kadar tol dan harga minyak. Kami para pekerjalah yang menjadi mangsanya," kata Bala yang mempunyai seorang anak perempuan.

"Ia bukan setakat kenaikan harga tol kerana harga barangan keperluan harian juga mungkin turut naik...Kos sara hidup kami sudah meningkat, hanya gaji kami sahaja yang tidak naik," tambahnya.

Pada 14 Disember lalu, kerajaan telah mengumumkan kenaikan kadar tol di lima lebuhraya utama di Lembah Kelang antara 20 hingga 60 peratus mulai 1 Januari ini.

Lebuhraya terbabit ialah LDP, Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Koridor Guthrie. Kadar tol LDP bagi kereta naik dari RM1 kepada RM1.60.

Keputusan tersebut telah mendapat bantahan pelbagai pihak, termasuk parti MCA, yang merancang untuk mengadakan siri bantahan terhadap kenaikan kadar tol itu.

Satu forum awam mengenai kenaikan kadar tol juga diadakan malam ini di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur. Berita asal