Projek misteri untuk tarik pelabur Spura ke Johor
Tanda-tandanya mungkin tidak menyenangkan tetapi kerajaan negeri Johor masih yakin bahawa pelaburan akan mengalir masuk dari Singapura tidak lama lagi.
Tanda-tandanya mungkin tidak menyenangkan tetapi kerajaan negeri Johor masih yakin bahawa pelaburan akan mengalir masuk dari Singapura tidak lama lagi.
Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, tahap pelaburan dari seberang Tambk Johor itu merosot ke tahap yang membimbangkan hanya RM208.9 juta berbanding RM1.9 juta pada 2005.
Bagaimanapun, Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC) tidak bimbang kerana ia percaya jumlahnya akan meningkat dalam suku akhir tahun ini. JSIC adalah agensi kerajaan di bawah Pejabat Menteri Besar Johor. Ia ditubuhkan pada Ogos 2004 untuk mempromosi Johor sebagai lokasi pelaburan pilihan serantau.
Pengurus kanan JSIC, Mohamed Basir Mohamed Sali memberitahu malaysiakini baru-baru ini bahawa pelaburan dari Singapura akan meningkat dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini.
Walaupun jumlah pelaburan dari Singapura di Johor sehingga Ogos lalu hanya 11 peratus berbanding dengan tahun lalu, tetapi Mohamed Basir mendakwa, projek pelaburan utama yang akan dilaksana tidak lama lagi, akan mengubahkan senario berkenaan.
Katanya, Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) akan mengumumkan tidak lama lagi satu projek pelaburan utama yang sedang menunggu kelulusan kerajaan.
Projek ini akan membantu Johor mencipta rekod baru dalam sejarah pelaburannya, kata Mohamed Basir dalam wawancara telefon.
Bagaimanapun, sehingga ini tiada tanda-tanda projek seumpama itu akan dilaksanakan.
Keadaan keselamatan
Mohamed Basir juga berkata, berdasarkan pengalamannya, pelaburan langsung asing (FDI) biasanya meningkat pada bulan Julai hingga September dan mencapai kemuncaknya pada bulan Oktober hingga Disember.
"Saya fikir adalah lebih adil untuk kita menunggu sehingga perangkaan sepenuhnya bagi 2006 dikeluarkan sebelum kita membuat sebarang kesimpulan," katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui adalah sukar untuk membandingkannya dengan tahap pelaburan yang tinggi pada 2005 kerana ia merupakan satu 'tahun luar biasa" bagi Johor. Beliau tidak menjelaskan lebih lanjut mengenainya.
Beliau juga menafikan laporan bahawa Johor akan menjalankan 'bedah-siasat' untuk mengetahui mengapa pelaburan ke Johor telah menurun.
"Saya tidak pernah dengar Menteri Besar (Datuk Seri Abdul Ghani Othman) atau pegawai EPU negeri menyebut perkara seumpama itu," katanya.
Menurutnya, para pelabur Singapura mengambil kira dua isu keadaan keselamatan di negeri tersebut dan sikap kerajaan negeri terhadap mereka sebelum melabur di Johor.
"Rakyat Singapura merasakan Johor sebuah negeri yang tidak selamat, tetapi sebenarnya isu ini telah dimainkan oleh pihak media di kedua-dua negara. Ini telah menyebabkan para pelabur Singapura berhenti melabur untuk sementara waktu, tetapi mereka telah datang semula dalam suku akhir tahun ini.
"Ya, kita memang ada masalah keselamatan, tetapi ianya tidak membabitkan seluruh negeri, ia hanya terhad di kawasan-kawasan tertentu sahaja, Johor tetap selamat," katanya.
Isyarat bercampur?
Mengenai isu kedua, Mohamed Basir menegaskan bahawa Abdul Ghani tidak pernah membuat kenyataan bahawa pelabur Singapura tidak dialu-alukan di negeri tersebut.
"Rakyat Singapura juga pernah bertanya kepada saya apakah mereka tidak dialu-alukan di Johor? Menteri Besar memberitahu saya: Bila saya kata begitu?"
Memandangkan persamaan budaya dan nilai politik di kedua buah negara, Singapura sentiasa merupakan pelabur terbesar di Johor.
"Kita telah bekerja kuat untuk menarik (pelaburan) mereka," tambahnya.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata Johor bimbang dengan penyertaan republik itu dalam Pembangunan Wilayah Iskandar (IDR) dan para pelabur menerima isyarat bercampur dari kerajaan negeri.
Bagaimanapun, ianya dinafikan oleh Abdul Ghani, dengan berkata pelabur asing amat dialu-alukan melabur dalam projek tersebut.
Kerajaan telah menyuntik pelaburan awal sebanyak RM5 bilion dalam Projek Wilayah Iskandar, dan ia dilihat sebagai pemangkin yang menawarkan persaingan kuat terhadap Singapura dari segi pembangunan ekonomi.
Singapore, yang merupakan pelabur terbesar di Johor dalam tempoh dua tahun lalu, berada di kedudukan ketiga selepas Belanda dan Lebanon dari segi pelabuaran antara Januari dan September tahun ini.
Loji bio-diesel
Menurut Mohamed Basir, Belanda merupakan salah sebuah pelabur utama di Johor manakala Lebanon telah membina loji bio-diesel pertamanya di Johor.
Beliau menjangka berlaku ledakan ekonomi pada tahun yang akan datang dengan projek wilayah Iskandar menjadi pemangkinnya.
"Iskandar akan menumpukan kepada usaha menyelesai dan menaiktaraf standard kehidupan, isu keselamatan dan isu-isu alam sekitar di wilayah tersebut.
"Ini akan membantu menarik pelaburan dalam bidang teknologi tinggi dan nilai industri. Johor bukanlah sahaja bergantung kepada industri tenaga kerja intensif, tetapi industri berteknologi rendah.
"Isu-isu ekonomi tersebut dan rancangan yang menjadi tumpuan kerajaan negeri sejak dua tahun lalu, akan menjadi kenyataan pada 2007. Tahun 2007 adalah merupakan tahun yang amat positif," katanya penuh yakin. Berita asal

