Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menegaskan Anggota Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali berbohong sekiranya mendakwa tidak mempunyai peluang untuk memberi pandangan ketika bersama parti.

Menurutnya dalam perlembagaan PAS Fasa 16 dengan jelas menyatakan setiap ahli PAS berhak memberikan pandangan dan pendapat kepada parti.

"Adalah amat tidak benar seorang ahli PAS apatah lagi ahli jawatankuasa PAS Pusat atau pimpinan tertinggi menyatakan dia tidak boleh memberikan pandangan kepada parti.

"Ini satu jaminan dalam perlembagaan. Cuma isunya kalau kita tak hadir mesyuarat macam mana kita nak bagi pandangan? Kalau kita hadir tetapi tak bercakap macam mana kita kata kita tak boleh bagi pandangan?

"Jadi itu peluang diberikan, kalau dia kata tak diberi peluang untuk bagi pandangan itu saya mengatakan itu satu pembohongan yang besar," katanya pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Kota Bharu, hari ini.

Muktmamar PAS, gambar hiasan

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu membabitkan Khairuddin yang sebelum ini mengumumkan keluar PAS dan menjadi ahli parlimen bebas.

Bagaimanapun tidak jelas Takiyuddin merujuk kepada dakwaan yang mana. 

Khairuddin dalam beberapa siri penjelasannya secara terbuka berkait pengundurannya daripada parti tidak pernah membangkitkan isu tidak diberi peluang untuk memberikan pandangan.

Dia sebelum ini antara lain mendedahkan perjanjian antara PAS dengan Perikatan Nasional (PN) dibuat Abdul Hadi Awang tanpa meminta pandangan kepimpinan parti itu.

Malah, kata Khairuddin, Presiden PAS itu menjalinkan kerjasama dengan PN tanpa mengikut lunas perlembagaan parti

‘Sudahlah cakap pasal PAS’

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Khairuddin mempunyai hak untuk keluar daripada parti sepertimana ahli-ahli lain.

"Tak perlu bercakap lagilah mengenai PAS. Bila anda keluar daripada satu organisasi, anda tiada kelayakan untuk komen untuk bagi pendapat. Sebab dia berada di luar organisasi.

"Kalau berada dalam organisasi bolehlah bagi pandangan. Tak tahulah kalau dia selesa beri pandangan dari luar parti, tapi pandangan dia macam orang biasalah. Kalau itu pilihan dia apa kita boleh buat," jelasnya yang juga anggota Parlimen Kota Bharu.