Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan berkhidmat sepenuhnya sehingga 2023.

Majlis Presiden PH berkata ia telah memutuskan hari ini bahawa kerajaan negeri tidak akan mengesyorkan pembubaran awal DUN di negeri berkenaan dan membenarkan ia berkhidmat sehingga habis penggal.

"Keputusan ini dibuat mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang masih sangat terkesan akibat banjir besar, pandemik Covid-19, pendapatan yang berkurangan serta kos sara hidup yang meningkat mendadak.

"Majlis presiden menegaskan bahawa fokus segala usaha pada waktu ini harus ke arah menyelamatkan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi," katanya.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dan Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko) Wilfred Madius Tangau.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan membuat kenyataan yang sama awal hari ini berhubung negeri yang dikuasai PAS Kelantan, Terengganu, dan Kedah.

Takiyuddin berkata tiada keperluan untuk pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat, dan parti itu telah memutuskan bahawa DUN tidak akan dibubarkan walaupun parlimen dibubarkan.