Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Zaidi Attan berkata pemaju projek penambakan di Pekan Klebang, Melaka, boleh mengemukakan semula permohonan penilaian kesan alam sekitar (EIA) mereka untuk projek itu, yang didakwa ditolak kerana kualitinya.

Ini berlaku selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) menolak laporan EIA pada 2 Mac.

"Saya difahamkan EIA projek ini tidak diluluskan oleh ibu pejabat JAS kerana dari segi kualitinya dan komen panel pakar.

"Pihak pemaju perlu serah semula EIA dengan pindaan yang lengkap," katanya, seperti dipetik Berita Harian.

Dilaporkan semalam bahawa EIA itu telah ditolak kerana ia tidak memenuhi keperluan di bawah Seksyen 34A(2C) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Seksyen 34A (2) akta tersebut menyatakan bahawa laporan EIA "hendaklah mengandungi penilaian tentang kesan aktiviti tersebut akan mempunyai atau mungkin mempunyai kesan alam sekitar" dan "langkah yang dicadangkan yang akan diambil untuk mencegah, mengurangkan atau mengawal kesan kepada alam sekitar”.

Projek itu, yang dikenali sebagai peojek AJA yang terletak di bawah pelan tindakan Zon Ekonomi Tepi Laut Melaka (M-WEZ) merancang untuk menambak seluas 300 ekar di kawasan perairan sekitar Pekan Klebang.

Pemajunya ialah Konsortium Pembangunan Tanah Laut (Melaka) Sdn Bhd.

Ia dipersetujui secara prinsip oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tetapi memerlukan pemaju mengemukakan pelbagai laporan dan mendapatkan kelulusan, termasuk EIA, penilaian impak sosial (SIA), penilaian risiko marin, penilaian kesan perikanan, pembetungan rancangan pembangunan dan kajian hidrodinamik.

Dilaporkan juga pemimpin Umno dikaitkan dengan projek itu.

Sementara itu, Pergerakan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa agar M-WEZ dihentikan sepenuhnya.

Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz, dalam satu kenyataan hari ini, berkata projek itu akan memberi kesan kepada alam sekitar dan boleh menyebabkan hakisan tanah, banjir yang semakin teruk dan kemusnahan hidupan marin.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa penambakan sebelum ini menjejaskan kehidupan nelayan yang tidak dapat menangkap ikan.

M-WEZ dijangka mengambil tanah seluas 25,000 ekar dan meliputi 33km garis pantai Melaka.

Awal bulan ini, JAS berkata sejak 1999 hingga kini, 11 projek penambakan yang terletak di kawasan M-WEZ telah diluluskan meliputi 1,091.72 hektar (kira-kira 2,698 ekar) tanah.

Dalam erti kata lain, 89 peratus daripada tanah itu masih belum ditebus di bawah projek M-WEZ seluas 25,000 ekar.