mk-logo
Berita
Adun gesa k'jaan letak ketum bawah Akta Dadah Berbahaya
Diterbitkan:  Mar 21, 2022 8:49 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

DUN KEDAH | Kerajaan persekutuan diminta segera membuat keputusan dengan meletakkan aktiviti penanaman ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sekiranya tanaman itu didapati mendatangkan kemudaratan lebih daripada kebaikan.

Datuk Norsabrina Mohd Noor (BN-Bandar Baharu) berkata tanaman itu ditanam secara berleluasa di negeri ini, namun disebabkan ia diletakkan di bawah Akta Racun 1952 tiada penguatkuasaan boleh diambil kepada penduduk yang menanamnya.

“Data yang saya terima mengenai penanaman ketum di Kedah, saya baru dapat tahu rupa-rupanya daerah Sik ada 3,030 pokok ketum dan Langkawi pun ada 670 pokok ketum, Baling pula ada 1,000 pokok, tapi paling saya terkejut di Pendang ada 30,000 pokok.

“Tapi tidak boleh lawan Padang Terap, daerah Padang Terap masih menjadi juara, kalau ketum dia ada 47,550 pokok, yang mana di satu-satu kawasan tanaman ada 5,000 pokok, 8,000 pokok...Kulim pun ada 1,310 pokok. Ini yang direkodkan. Rupa-rupayanya lebih daripada keluasan tanaman buah-buahan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar hari ini.

Norsabrina berkata kerajaan perlu mempunyai perancangan khusus untuk tanaman ini dan menentukan sekiranya ia boleh mendatangkan kebaikan atau sebaliknya.

Isu ketum turut disentuh Mohd Radzi Md Amin (PN-Pedu) yang menyatakan sokongan terhadap cadangan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (PN-Jeneri) baru-baru ini agar kerajaan persekutuan membenarkan ia dieksport khususnya ke Thailand.

Menurut beliau, sekiranya dibenarkan untuk dieksport ia akan mengurangkan beban agensi penguatkuasaan bagi menghalang aktiviti penyeludupan daun ketum di sempadan negara.

Bagaimana pun, Datuk Dr Ismail Salleh (PH-Pengkalan Kundor) ketika mencelah perbahasan oleh Mohd Radzi berkata isu daun ketum adalah berkaitan penyalahgunaannya yang bukan sahaja melibatkan golongan dewasa tetapi juga pelajar sekolah.

Beliau berkata sekiranya kerajaan membenarkan eksport daun itu ia bermakna peruntukkan undang-undang untuk ketum akan dilonggarkan sekali gus mengundang kepada lebih banyak gejala penyalahgunaan daun ketum.

Persidangan DUN Kedah bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS