MCA anjur demonstrasi bantah kenaikan kadar tol
Ahli-ahli MCA parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN) mengadakan demonstrasi hari ini sebagai membantah keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar tol di lima lebuhraya utama di Lembah Kelang, berkuatkuasa Isnin ini.
Ahli-ahli MCA parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN) mengadakan demonstrasi hari ini sebagai membantah keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar tol di lima lebuhraya utama di Lembah Kelang, berkuatkuasa Isnin ini.
Seramai 50 orang, yang membawa pelekat dan kain rentang, mengadakan protes itu di plaza tol Bandar Sunway yang terletak di Lebuhraya Puchong-Damansara (LDP). Mereka turun melaungkan 'tol turun'.
Kadar tol bagi kereta di LDP akan dinaikkan daripada RM1 kepada RM1.60 kenaikan tertinggi di antara lima lebuhraya berkenaan.
Demonstrasi hari ini diketuai oleh Ketua Pemuda MCA bahagian Puchong, Theng Book. Turut hadir ialah Ketua MCA bahagian berkenaan, Wong Hock Aun dan Ketua MCA Kelana Jaya, Lee You Hin.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Theng menggesa pihak berkuasa supaya mengkaji semula keputusan menaikkan kadar tol tersebut.
"Kami bukan membantah terus kenaikan kadar tol jika ia dinaikkan 10 peratus. Kenaikan 60 peratus (di LDP) atau 40 peratus di lebuhraya Kesas, adalah terlalu drastik, kami mahu ianya dikaji semula kepada tahap yang sederhana," katanya.
Hak asasi penduduk
Theng yang juga penasihat guaman biro perkhidmatan dan aduan awam MCA berkata, kira-kira 100,000 penduduk di Puchong akan terjejas teruk dengan kadar tol baru itu kerana mereka tidak mempunyai jalan alternatif lain untuk dilalui.
"Keseluruhan kawasan Puchong dikelilingi oleh lima buah plaza tol dan penduduk Puchong melalui hampir ke semua plaza tol berkenaan," katanya.
Beliau juga menggesa kerajaan supaya mengambil alih lebuhraya LDP menjadi laluan biasa memandangkan ia dikelilingi oleh kawasan kediaman di mana penduduknya juga membayar cukai pendapatan, cukai jalan dan cukai taksiran.
Oleh itu, katanya, mereka berhak menikmati keselesaan menggunakan laluan tersebut.
Beliau juga menegaskan, LDP juga bukan sebuah lebuhraya yang efektif kerana sering berlaku kesesakan lalulintas sewaktu masa puncak, sedangkan para pengguna terpaksa mambayar tol untuk menggunakannya.
Ditanya bagaimana MCA selaku parti kerajaan boleh membawa masalah rakyat kepada pucuk pimpinan kerajaan, Theng berkata, bantahan hari ini adalah salah satu cara kita menyuarakan pandangan kita.
Menurutnya lagi, perkara tersebut juga boleh dibawa kepada pucuk pimpinan MCA.
Tiada permit polis
Ditanya mengenai sikap parti komponen BN lain yang hanya mendiamkan berhubung isu kenaikan kadar tol itu, Theng enggan mengulas selain berkata ia merupakan 'cara biasa' untuk orang awam mengadakan perhimpunan aman.
"Kami hanya menyuarakan pandangan kami, tidak kira sama ada Umno atau orang lain turut terjejas dengan kenaikan kadar tol itu. Saya tidak nampak sebarang alasan untuk membantah (protes yang diadakan," tambahnya.
Kira-kira 20 anggota polis yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Muhammad Fuad Talib memantau keadaan tetapi tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Fuad memberitahu malaysiakini kemudiannya, walaupun bantahan MCA itu diadakan tanpa permit polis, mereka bagaimanapun telah mematuhi arahan polis supaya bersurai dalam masa 30 minit dan keadaan perhimpunan itu juga terkawal.
Pada 14 Disember lalu, kerajaan mengumumkan kadar tol bagi lima lebuhraya utama di Lembah Kelang, antara 20 hingga 60 peratus berkuatkuasa 1 Januari ini. Berita asal

