Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kedah kenal pasti kawasan berpontesi untuk pelancongan komersial
Diterbitkan:  Mar 23, 2022 1:30 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Kerajaan Kedah telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpontensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan komersial dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Firdaus Ahmad berkata antara kawasan terlibat ialah Mong Gajah di Padang Terap; Langkawi Gateway (Langkawi); kawasan Jerai Geopark (Kuala Muda/Yan); Persisiran Sungai Kedah dan Gunung Keriang di Kota Setar.

“Banyak kawasan di negeri ini berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan komersial. Oleh itu, beberapa sesi libat urus dan perbincangan bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Kedah dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah diadakan.

“MOTAC, Invest Kedah dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) telah bergabung dalam satu jawatankuasa kecil dan jawatankuasa ini akan mengenal pasti kawasan yang berpontesi untuk dibangunkan. Sekiranya ada kawasan lain yang berpontesi tinggi dan menepati kriteria yang ditetapkan, ia juga akan dibangunkan nanti,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Radzi Md Amin (PAS-Pedu) mengenai kawasan baharu yang dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai tempat pelancongan komersial di setiap daerah di Kedah.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata keutamaan peluang pekerjaan juga akan diberikan kepada golongan belia dan penduduk setempat untuk mengurus dan menjalankan perniagaan di kawasan pelancongan komersial baharu yang akan dibangunkan nanti.

“Kita perlu beri keutamaan kepada penduduk setempat dahulu dan pihak berkuasa tempatan akan tawarkan peluang itu kepada mereka yang berminat. Jadi, mereka perlu mengambil peluang ini termasuk usahawan daripada golongan wanita,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri juga kini sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi menjalankan promosi secara besar-besaran untuk semua kawasan pelancongan di Kedah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS