Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Husam cabar Takiyuddin buat pemeriksaan imej satelit ke atas HSK
Diterbitkan:  Mar 28, 2022 6:49 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Bekas exco kerajaan Kelantan Husam Musa dalam satu surat terbuka kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan, mencabarnya supaya menjalankan pemeriksaan imej satelit ke atas semua Hutan Simpan Kekal (HSK) di seluruh negara khususnya di Kelantan.

Katanya, dapatan pemeriksaan imej satelit itu kemudian boleh dibentangkan di parlimen. Husam merujuk kenyataan Takiyuddin yang menggesa kerajaan-kerajaan negeri supaya menaikkan keluasan HSK di seluruh negara sebelum ini.

"Saya merujuk secara spesifik kepada negeri Kelantan yang giat mengamalkan polisi meluluskan pembangunan projek ladang hutan dan perlombongan di dalam HKS Kelantan secara berleluasa. Jika demikian, ia akan menyebabkan keluasan HSK hanya luas di atas kertas sahaja.

"Pada hakikatnya, keluasan hutan negara kita terus berkurangan dengan drastik dan ini memberi ancaman kepada keadaan iklim serta kerugian khazanah yg tak terkira.

"Angka dari Laporan Rasmi menunjukkan antara tahun 2000 hingga 2019, seluas 245,566 hektar HSK dibersihkan sepenuhnya untuk tujuan projek ladang hutan tetapi kawasan ini masih kekal sebagai HSK di atas kertas," katanya.

Susulan itu Husam yang juga ketua Amanah kawasan Kota Bharu berkata, hasil pemeriksaan (imej satelit) boleh membuktikan kedudukan yang sebenar dan membolehkan sebarang langkah pembetulan dilakukan sebelum terlambat.

"Beserta laporan penuh keluasan HKL yang telah diluluskan sebagai ladang hutan, jumlah balak yang telah dikeluarkan setiap tahun dari keluasan HSK berkenaan, status kemajuan ladang hutan yang telah diluluskan sejak 2005 dan kesan kepada ekologi, sumber air, suhu dan kehidupan kepada masyarakat setempat.

"Adakah program pembangunan projek ladang hutan benar-benar berjaya berbanding kemusnahan kekal ekologi penuh hutan Asli menggunakan teknik tebangan terpilih yang diamalkan sebelum ini atau ia telah disalah gunakan untuk pihak tertentu mencari kekayaan singkat," katanya.

"Dengan cara-cara ini boleh menunjukkan menteri benar-benar serius dalam saranan tersebut," katanya.

Lihat Komen
ADS