Amaran hujan lebat di utara Semenanjung
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat akan berlaku di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak mulai Sabtu ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat akan berlaku di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak mulai Sabtu ini.
Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan diminta mematuhi nasihat berpindah oleh pihak berkuasa apabila diarahkan berbuat demikian.
Menurut laporan Bernama, jabatan itu berkata, hujan yang lebih menyeluruh dan lebat akan berlaku Jumaat ini di sekitar negeri Kelantan, Terengganu, dan utara Pahang sehingga Isnin depan.
"Manakala bagi kawasan utara sekitar negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak dijangka berlaku bermula Sabtu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di utara Selat Melaka pula, ombak dijangka setinggi tiga hingga empat meter mulai hari Ahad.
Manakala keadaan ombak di Laut China Selatan dan perairan Malaysia, terutamanya di pantai timur dijangka mencapai ketinggian sehingga enam meter mulai Jumaat ini.
Banjir kilat
Sementara itu di Sandakan, hujan lebat berterusan melanda bahagian Sandakan menyebabkan lebih 100 orang daripada 20 keluarga terpaksa meninggalkan rumah mereka di Kampung Gum-Gum akibat banjir kilat malam tadi.
Lima keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di masjid kampung berkenaan manakala selebihnya tinggal di rumah saudara mara atau jiran mereka.
Tinjauan Bernama tengah hari ini mendapati banjir kilat berkenaan telah surut dan kebanyakan mangsa sudah balik semula ke rumah masing-masing.
Antara tempat yang terjejas ialah Kampung Jalan Utara, Kampung Gum-Gum, Jalan Lintas Sibuga dan Taman Mawar.
Lebih 40 kubur orang Islam di Kampung Sim-Sim terjejas akibat tanah runtuh 6 petang semalam manakala sebuah rumah di lereng bukit ranap ditimbus tanah runtuh itu.
Seorang lelaki warga tua berumur 60 tahun yang menyewa di rumah tersebut terselamat selepas sempat keluar sebelum rumah itu ditimbus.

