PAS gesa pengundi Batu Talam hantar mesej pada kjaan
PAS juga mahu menjadikan pilihanraya kecil Batu Talam di Raub, Pahang untuk menghantar mesej kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya mempertimbangkan semula kenaikan kadar tol, harga minyak, gas memasak dan tarif elektrik.
PAS juga mahu menjadikan pilihanraya kecil Batu Talam di Raub, Pahang untuk menghantar mesej kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya mempertimbangkan semula kenaikan kadar tol, harga minyak, gas memasak dan tarif elektrik.
Oleh itu, Naib Presidennya Datuk Husam Musa berharap pengundi Cina dan Melayu akan menyokong PAS agar mesej tersebut dihantar kepada kerajaan supaya mempertimbangkan keputusannya menaikkan pelbagai kos hidup.
"Saya yakin kepimpinan PAS Pusat akan membuat keputusan untuk bertanding dalam pilihanraya ini walaupun sebelum ini ada cadangan untuk memboikotnya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Bharu hari ini.
Beliau yang juga anggota Exco Kelantan yakin PAS akan bertanding di kawasan itu kerana ia merupakan kerusi tradisi PAS walaupun barisan pembangkang belum membuat keputusan muktamad berhubung parti mana yang akan bertanding.
Menurut laporan Bernama , beliau berkata, penyertaan dalam pilihanraya itu juga bertujuan mengurangkan majoriti BN dan dengan sokongan semua pengundi, matlamat itu akan tercapai.
'Panas badan'
Di samping itu, kata Husam, PAS juga akan menjadikan pilihanraya kecil Batu Talam sebagai medan "warm up" untuk menghadapi tahun pilihanraya.
Kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Talam kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, 65, pada 27 Disember lalu akibat barah usus.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mengadakan sidang akhbar esok untuk mengumumkan tarikh bagi penamaan calon dan hari mengundi bagi kawasan itu.
Dalam pilihanraya umum 2004, BN menewaskan calon PAS Dr Muhammad Nilam Abdul Manap dengan kelebihan 2,761 undi.

