Hukuman khidmat masyarakat bagi pesalah muda
Mulai 1 Januari lalu, pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dikuatkuasakan sebagai satu alternatif kepada hukuman penjara bagi pesalah muda berumur 18 hingga 21 tahun di seluruh negara.
Mulai 1 Januari lalu, pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dikuatkuasakan sebagai satu alternatif kepada hukuman penjara bagi pesalah muda berumur 18 hingga 21 tahun di seluruh negara.
Pelaksanaannya merupakan satu perubahan besar dalam sistem keadilan negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
"Dulu, mereka (pesalah muda) hanya ada pilihan sama ada dipenjarakan, diikat jamin atau didenda, tapi sekarang satu lagi kaedah untuk hukuman diperkenalkan untuk membawa keinsafan kepada mereka melalui program pemulihan dan kemasyarakatan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau bagaimanapun berkata, PKM hanya ditawarkan untuk jenis kesalahan jenayah ringan dan diputuskan oleh Mahkamah.
"Ia terpulang kepada hakim, bukan untuk kami membuat keputusan. Cuma sekarang kami memberi ruang untuk pemulihan yang tidak dapat dilakukan melalui hukuman ikat jamin, denda atau penjara," katanya.
Berikutan itu, satu bahagian khas diwujudkan iaitu Bahagian PKM di Ibu Pejabat JKM, serta unit di peringkat pejabat negeri dan daerah yang dikendalikan oleh kakitangan JKM.
Ditentukan mahkamah
PKM dilaksana berdasarkan pindaan Seksyen 293 Kanun Acara Jenayah yang diluluskan Parlimen pada Julai 2006.
Shahrizat berkata mengikut subperenggan (1)(e)(i) di bawah pindaan itu, mahkamah boleh memerintahkan pesalah muda melaksanakan PKM yang tidak melebihi jumlah agregat 240 jam pada masa dan tempat yang ditentukan oleh mahkamah.
"Subperenggan 293 (1)(e)(ii) menjelaskan khidmat masyarakat meliputi apa-apa kerja atau perkhidmatan yang diarahkan bertujuan memberi kebaikan kepada awam secara keseluruhan," jelas beliau.
Menurutnya, jenis perkhidmatan yang dicadangkan adalah pemuliharaan kawasan dan landskap, pemuliharaan dan penyelenggaraan bangunan, rekreasi dan riadah, pembaikan kecil, pengurusan rumah, jagaan dan pengurusan penghuni serta aktiviti bersesuaian.
"Buat permulaan, PKM akan ditumpukan kepada institusi di bawah JKM sahaja dan 30 institusi persekutuan dan negeri yang memberi perkhidmatan kepada warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak," katanya.
Kementerian itu juga, tegasnya, bercadang meluaskan pelaksanaan PKM ke sektor perkhidmatan awam yang lain, iaitu Pihak Berkuasa Tempatan, sekolah, hospital dan agensi kerajaan negeri yang bersesuaian.

