Aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim, hari ini secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan ketua Pemuda PKR (AMK) dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Untuk persaingan itu Adam berpasangan dengan exco AMK Perak, Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai salah seorang regunya yang bernaung dalam gabungan dinamakan sebagai Seangkatan.

"Pasukan penuh yang terdiri daripada tiga orang calon naib ketua dan 20 orang calon exco AMK serta lima teras Seangkatan yang bakal dijadikan prinsip dan panduan menggerakkan kempen kali ini akan diumumkan dalam kenyataan bersama melalui majlis berasingan tidak lama lagi," kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Ketua AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainol, sudah mengumumkan secara rasmi rancangannya untuk menawarkan diri mengisi tempat yang akan dikosongkan penyandang sekarang, Akmal Nasir.

Fahmi juga mengumumkan pasukannya dengan Adun Rawang, Chua Wei Keat, dipilih sebagai regunya untuk jawatan timbalan ketua.

Adam Adli berkata pemilihan kali ini adalah untuk memperkukuh kekuatan AMK selepas berlakunya pengkhianatan yang menyaksikan Pakatan Harapan dijatuhkan di luar pilihan raya, selain tarikh PRU yang kian hampir.

AMK adalah barisan paling hadapan untuk PKR, justeru ia harus bersedia, kukuh, berani, progresif, dan segar.

Kata Adam Adli, bagi menghadapi PRU ke-15, AMK perlu menampilkan tenaga yang paling kuat sebagai pemuka parti dan tunjang utama perjuangan reformasi.

"Untuk mencapai tujuan tersebut bakat-bakat muda, lama dan baru yang mempunyai bukan sahaja cita-cita sebaliknya kesedaran yang tinggi harus diangkat untuk menggalas tanggungjawab memimpin barisan hadapan parti iaitu AMK. Inilah cabaran yang harus kita sahut," katanya.

Adam Adli dan Kami juga berharap pemilihan parti kali ini dapat berlangsungd engan penuh harmoni dan semangat persaudaraan.