Pilihanraya kecil Batu Talam 28 Januari
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Batu Talam di Raub, Pahang pada 16 Januari ini.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Batu Talam di Raub, Pahang pada 16 Januari ini.
Jika berlaku pertandingan, hari pengundian telah ditetapkan pada 28 Januari. Tarikh tersebut diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman di di Putrajaya pagi ini.
Kerusi Batu Talam kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, 65, pada 27 Disember lalu akibat barah usus.
Dalam pilihanraya umum 2004, BN menewaskan calon PAS Dr Muhammad Nilam Abdul Manap dengan kelebihan 2,761 undi. Terdapat 10,886 pengundi berdaftar pada masa itu.
Percakaran dalam Umno?
Ini merupakan pilihanraya kecil kedua sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, selepas pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan pada 7 Disember 2005.
Dalam pilihanraya kecil itu, calon BN Hanafi Mamat menang tipis dengan hanya majoriti 134 undi sahaja.
Menurut laporan media, Umno Raub dilaporkan dalam keadaan tidak selesa ekoran tindakan seorang ahli Umno memfailkan saman terhadap beberapa pemimpin Umno di bahagian tersebut, berhubung urusan pemilikan tanah.
Berikutan itu, New Straits Times melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengingatkan pemimpin Umno bahagian itu supaya mengelak 'bercakaran' sesama sendiri dan memastikan kejayaan BN mempertahankan kerusi Batu Talam.
Pengundi kurang
Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Rashid berkata, jumlah pemilih bagi kawasan tersebut yang sebelum ini seramai 10,866 orang, telah menurun kepada 10,525 selepas SPR mengeluarkan nama mereka yang telah meninggal dunia, mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Negara.
"Kalau ada lagi yang belum masuk rekod, nama mereka masih ada.
"Bagi kami, tidak ada pengundi hantu. Dan kita harap orang tak ganggu
proses pilihan raya ini. Jangan pergi tahan bas, misalnya, kerana takut (ia
membawa) pengundi hantu," kata Abdul Rashid.
Beliau mengingatkan parti yang bertanding supaya tidak menggantung terlalu banyak poster kerana "semua parti politik yang hendak ambil bahagian orang sudah kenal".
"Kawasan pilihanraya ini kecil. Gantung saja poster di tempat yang ada orang. Tak payah gantung di merata tempat seperti atas pokok dalam hutan. Jangan gantung poster di pekan Raub," kata Abdul Rashid.

