Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Najib Razak memfailkan pernyataan pembelaan di mahkamah bahawa hantaran di Facebooknya mengenai isu kronisme tidak merujuk kepada bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Bekas perdana menteri mengemukan hujah ini dalam kes saman fitnah oleh ahli parlimen Amanah itu terhadapnya.

Hujah pembelaan bekas presiden Umno itu juga serupa dengan hujah Ketua Pemuda parti Asyraf Wajdi Dusuki, yang turut disaman oleh Dzulkefly berhubung siaran dalam talian berkaitan isu kronisme.

Pada 31 Dis tahun lepas, Dzulkefly yang juga ahli parlimen Kuala Selangor Dzulkefly memfailkan tindakan sivil saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Pekan Najib berhubung hantaran di FBnya yang dimuat naik pada 14 Ogos 2020, yang dikatakan mengandungi dakwaan bahawa bekas menteri kesihatan itu mengamalkan nepotisme.

Dakwaan nepotisme itu berhubung pelantikan anak Dzulkefly, Nurul Iman pada 2019 sebagai ahli lembaga pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Tuduhan ini juga menjadi teras tuntutan tindakan sivil berasingan oleh pengarah strategik Amanah itu terhadap Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Najib dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lalu dan dilihat oleh Malaysiakini, berhujah bahawa siaran FB yang diperkatakan itu tidak merujuk kepada Dzulkefly atau berkaitan dengannya sama sekali.

Dia merujuk kepada hantaran FBnya yang disertakan dengan tangkapan skrin dua artikel Sinar Harian.

Menurut kenyataan tuntutan Dzulkefly, artikel yang diterbitkan pada Januari 2019 itu bertajuk 'Junaidah nafi dilantik pengerusi AIM kerana kronisme' dan 'Kronisme AIM: Pelantikan anak menteri tiada kaitan dengan KKM'.

KKM merujuk Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala Junaidah pula ialah Pengerusi AIM Junaidah Kiting.

"Walaubagaimanapun, defendan (Najib) menafikan sekeras-kerasnya bahawa terbitan tersebut merujuk dan/ atau berkait dengan plaintif (Dzulkefly) dan tiada sebarang niat untuk memfitnah plaintif.

"Dalam keadaan yang dipilidkan di atas, defendan selanjutnya menyatakan bahawa terbitan tersebut merujuk kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan oleh itu tiada sebarang fitnah dibuat terhadap plaintif," kata pernyataan pembelaan Najib.

"Dalam keadaan tersebut, defendan memberi penegasan kepada kelakuan parti gabungan PH yang bersifat hipokrit kerana mendakwa nepotisme, kronisme dan pelantikan politik terhadap gabungan politik defendan (pada ketika itu Perikatan Nasional - PN) kerana pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (syarikat GLC) walaupun pada hakikatnya semasa PH berada dalam kerajaan, pelantikan yang sama dibuat tanpa sebarang bantahan atau dakwaan oleh PH," kata Najib lagi.

Najib juga bertegas hantarannya itu tidak mengandungi dakwaan, sama ada secara langsung atau tidak, bahawa mana-mana pelantikan berkenaan adalah salah.

Najib mendakwa bahawa hantaran di FBnya itu disertakan dengan tangkap layar artikel Sinar Harian, bagi membolehkan orang ramai menilai secara adil isu tersebut.

Ini katanya, termasuk menyediakan ruang untuk pendirian Dzulkefly mengenai perkara itu supaya orang ramai dapat membuat pertimbangan secara keseluruhan.

Sementara itu, menurut peguam Dzulkefly, Sankara Nair, mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes untuk tindakan undang-undang itu pada 14 April depan.

Peguam itu berkata mahkamah tinggi menetapkan tarikh pengurusan kes untuk mengemas kini sebarang jawapan yang mungkin ingin dikemukakan oleh Dzulkefly terhadap pernyataan pembelaan Najib.

“Mahkamah mengambil perhatian terhadap pemfailan pernyataan pembelaan oleh defendan (Najib), dan seterusnya mengarahkan plaintif (Dzulkefly) memfailkan jawapannya kepada pembelaan selewat-lewatnya pada 13 April 2022,” kata peguam itu.

Najib diwakili peguam dari firma guaman Shafee & Co.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS