Orang Asli dikhuatiri maut dihanyut kepala air
Seorang wanita Orang Asli dipercayai maut selepas dihanyutkan kepada air di Batu 31, Jalan Ringlet, Cameron Highlands, Selasa lalu susulan hujan lebat.
Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan, di tengah-tengah kawasan lumpur, dan serpihan kayu yang turut dihanyutkan dalam banjir kilat itu.
Mangsa, Mariam Bertampa, 62, tinggal di Kampung Orang Asli Sungai Ubi berhampiran Bharat Tea di Cameron Highlands.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang dalam satu kenyataan berkata, dia dipercayai cuba menyeberangi Sungai Ubi ketika dihanyutkan.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Cameron Highlands berkata tiga lagi wanita daripada keluarga yang sama telah terperangkap dalam kepala air itu tetapi terselamat.
Gambar dari tempat kejadian pada hari Rabu menunjukkan jengkaut dan pekerja mencari dan menyelamat menyisir timbunan lumpur, balak, dan serpihan kayu dalam usaha untuk mencari mayat mangsa.
Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat juga telah dihantar.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang Selasa. Video yang disiarkan sejam kemudian menunjukkan pekerja penyelamat di lokasi.
Operasi mencari berlangsung sehingga jam 9 malam Selasa dan disambung semula pagi semalam.
APM Cameron Highlands memaklumkan pada 11.45 malam tadi bahawa pencarian telah ditangguhkan kerana cuaca buruk.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklumat lanjut berhubung usaha pencarian hari ini.

